Seni bina memukau UTS Sibu gamit perhatian ramai

Univerisiti Teknologi Sarawak (UTS) merupakan sebuah universiti yang terletak di bandar Sibu, adalah satu-satunya universiti dengan 100 peratus ditubuhkan hasil ‘titik peluh’ Kerajaan Negeri Sarawak dengan senibina yang moden dan futuristik ketika tinjauan di UTS baru-baru ini. - Foto Bernama
Univerisiti Teknologi Sarawak (UTS) merupakan sebuah universiti yang terletak di bandar Sibu, adalah satu-satunya universiti dengan 100 peratus ditubuhkan hasil ‘titik peluh’ Kerajaan Negeri Sarawak dengan senibina yang moden dan futuristik ketika tinjauan di UTS baru-baru ini. - Foto Bernama
A
A
A

SIBU - Sesiapa sahaja pertama kali menjejakkan kaki ke Universiti Teknologi Sarawak (UTS) di sini pasti terpegun melihat kecantikan dan keunikan seni bina serta landskap universiti itu yang memukau perhatian dengan konsep moden dan futuristik namun mengekalkan kehijauan.

Begitulah dirasai wartawan Bernama ketika dibawa meninjau universiti yang baru mendapat status universiti penuh itu, membuatkan hati dan mulut acap kali memuji dan mengagumi keindahan seni bina UTS, hingga terfikir ingin kembali ke menara gading.

Antara yang menarik perhatian ialah struktur oculus di beberapa bangunan utama kampus UTS menjadikan reka bentuknya lebih unik dan cantik, selain struktur kanopi hutan hujan membolehkan cahaya menyinari ratusan pokok dan tumbuhan yang berada di situ.

Sistem Penuaian Air Hujan terletak di tengah-tengah bangunan universiti milik penuh Kerajaan Negeri Sarawak itu pula membolehkan air hujan digunakan semula bagi tujuan pembersihan dan siraman tumbuhan.

Turut mencuri tumpuan ialah kolam bulat yang jelas kelihatan sebaik sahaja memasuki pintu gerbang utama UTS, dengan corak seakan memaparkan lokasi Sungai Rajang, sungai terpanjang di Malaysia, menjadikannya lokasi pilihan untuk sesi penggambaran perkahwinan.

Tidak hairanlah universiti yang ditubuhkan pada 1 April 2013 dan dahulu dikenali sebagai Universiti Kolej Teknologi Sarawak (UCTS) itu menjadi universiti pertama di Malaysia mendapat anugerah Green Building Index (GBI) Platinum.

Naib Canselor UTS, Prof Datuk Dr Khairuddin Abdul Hamid berkata, pembinaan universiti itu adalah idea Yang Dipertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud merangkap Canselor UTS yang ketika itu Ketua Menteri Sarawak, yang mahukan acuan tersendiri apabila melihat Sibu memerlukan sebuah universiti namun mestilah dengan reka bentuk hebat.

“Sebab Sibu bandar kecil dan tidak terkenal, kalau bina sebuah universiti biasa-biasa, tidak ada tarikan jadi beliau (Tun Abdul Taib) telah mencetuskan satu buah fikiran yang mana ia mestilah berbentuk futuristik, moden dan kontemporari.

Artikel Berkaitan:

“Ini supaya kampus itu menarik minat orang, tapi dalam masa sama mesti membawa elemen hijau, persekitaran semula jadi, supaya kita dapat mempertahankan konsep hutan hujan di sekitar kawasan pertengahan negeri ini,” katanya kepada Bernama.

Beliau menjelaskan antara ciri lain UTS yang dilengkapi dengan kemudahan teknologi terkini termasuk panel kaca dua lapis agar suhu di dalam bangunan tidak terlalu panas, selain penjanaan tenaga solar serta sistem pencahayaan lampu diod pancaran cahaya (LED) berkonsepkan penderia gerakan sekali gus menjimatkan penggunaan tenaga.

Jelasnya, fasa pertama pembinaan universiti itu disiapkan pada 2013 dengan kos hampir RM1 bilion, meliputi pembinaan kampus utama manakala fasa kedua siap pada 2019 dengan kos RM250 juta meliputi pembinaan surau, kompleks letak kereta dan dua blok asrama pelajar.

UTS, yang menawarkan kursus dalam bidang teknologi dan teknikal bagi keperluan industri, ketika ini mempunyai kira-kira 1,000 lebih penuntut. Ia menyasarkan pengambilan 4,000 penuntut dalam tempoh dua tahun akan datang.

Sebelum ini, Khairuddin berkata, UTS turut dinamakan antara tujuh kampus tercantik di Malaysia oleh majalah terkenal Tatler Malaysia, malah ia turut menarik minat pengguna media sosial yang kagum dengan keindahan landskap universiti itu. -Bernama