'Sebagai manusia, saya pasti sakit hati, marah dan sedih' - Rossa

Rossa
Rossa
A
A
A

PENYANYI Datuk Rossa kesal apabila dituduh mengabaikan bakat baharu, Betrand Putra Onsu atau Onyo ketika menjayakan konsert Rossa Another Journey: The Beginning di Zepp Kuala Lumpur baru-baru ini.

Rossa atau nama sebenarnya Sri Rossa Roslaina Handiyani, 45, mengakui terkejut apabila tiba-tiba menerima banyak kecaman gara-gara penyebaran sebuah klip video yang disunting daripada konsert tersebut menunjukkan seolah-olah dia lebih memberikan perhatian kepada Rizky Febian berbanding Onyo ketika persembahan duet mereka.

“Mahu cerita sedikit ni. Beberapa hari yang lalu saya baru saja menjayakan konsert dua hari di Malaysia untuk promo album baharu di mana hari pertama ada Ikky (Rizky) dan Onyo (Betrand) sebagai bintang tamu saya.

“Tetapi tiba-tiba banyak sangat di TikTok muncul potongan video konsert ketika saya menyanyi bertiga yang boleh dikategorikan memfitnah iaitu Rossa nyuekin Onyo.

“Video itu ditonton jutaan kali dengan komentar negatif sampai puluhan ribu. Betapa mudahnya orang menyukai hal buruk ya,” luahnya menerusi satu hantaran di laman Instagram.

Rizky dan Onyo merupakan penyanyi undangan Rossa pada konsert yang berlangsung pada Jumaat lalu, sementara Mahalini pada konsert malam kedua.

Tampil menjelaskan keadaan sebenar, penyanyi lagu Ayat-Ayat Cinta itu berkata, tuduhan bersikap tidak adil terhadap Onyo adalah tidak berasas sama sekali, apatah lagi dia sendiri mengundang Onyo ke konsert tersebut dengan mengeluarkan perbelanjaan peribadi.

“Saya ingin beritahu, saya sendiri yang mengajak Onyo ke Malaysia. Pakai wang saya sendiri kerana saya dan Ruben sayang sama Onyo yang punya bakat besar. Kita ingin mempromosikan Onyo di Malaysia.

“Nyanyi bertiga itu pasti ada pembagiannya. Ada bahagian saya, Onyo dan Iky. Video yang dimuat naik dan dijadikan konten fitnah adalah bahagian Iky nyanyi dan (pastinya) saya memandang pada Iky. Takkan Iky menyanyi, saya pandang pada Onyo pula. Sampai sini, semoga faham,” jelasnya.

Rossa cukup dikenali dengan sikapnya yang sering merendah diri dan jarang sekali menunjukkan kemarahannya di media sosial.

Namun disebabkan tuduhan tersebut bersifat melampau dan memburukkan nama serta reputasinya, dia tampil bersuara dan menuntut individu terbabit membuat permohonan maaf.

“Sebagai manusia, saya pasti sakit hati, marah dan sedih. Ruben dan Onyo pun sama. Onyo yang lagi semangat menyanyi, merasa tidak enak dengan saya kerana berita ini. Tak mengapa Onyo, bubu dan ayah tahu hal yang sebenarnya.

“Jadi satu video bisa merosak nama baik, mental yang difitnah dan menjerumuskan mereka yang menonton ke dalam pikiran buruknya dan menarilah jari-jari itu memberikan komen yang jahat.

Oleh kerana itu, saya tidak akan diam.

“Tidak mahu bangsa ini moralnya tambah merosot dan menyukai hoax. Doakan ya semua, biar segera terciduk dan memberikan pelajaran buat siapa pun yang ingin membuat konten jahat,” katanya yang seolah memberi bayangan bakal mengambil tindakan undang-undang.