Doktor Palestin gagal rayuan dapat pampasan dari Israel

Dr Izzeldin Abuelaish - Foto AFP
Dr Izzeldin Abuelaish - Foto AFP
A
A
A

BAITULMAQDIS - Mahkamah Agung Israel pada Rabu menolak rayuan seorang doktor Palestin yang mahu mendapatkan pampasan ekoran pembunuhan tiga anak perempuannya dan seorang anak saudaranya semasa Perang Gaza berlaku pada tahun 2008 hingga 2009.

Izzeldin Abuelaish yang kini menetap di Kanada memfaikan aduan itu pada tahun 2010 selepas tiga anak perempuan dan seorang anak saudara perempuannya yang berumur antara 13 hingga 20 tahun terkorban.

Mahkamah menganggap pembunuhan itu sebagai satu kejadian yang tragis dan menegaskan bahawa ia tidak menganugerahkan bayaran pampasan kerana undang-undang memberikan 'kekebalan kukuh' kepada Israel semasa berlakunnya satu-satu konflik.

Pembunuhan itu berlaku apabila rumah keluarganya di Gaza dibedil oleh kereta kebal Israel.

Kes itu mendapat perhatian apabila doktor itu menghubungi sebuah stesen televisyen Israel sejurus tiga anak perempuan dan seorang anak saudaranya terkorban.

Tentera Israel menyatakan ia menyasarkan para pejuang Palestin di kawasan rumah Abuelaish.

Namun, doktor lulusan Universiti Harvard, Amerika Syarikat menafikan terdapat pejuang Hamas berada dalam rumahnya ketika kejadian berlaku. - Agensi

Artikel Berkaitan: