Pangkalan TUDM kawasan kepadatan tinggi tumpuan Dewan Rakyat

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persidangan Dewan Rakyat pada Rabu dijangka mengupas isu berkenaan pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di kawasan berkepadatan tinggi serta di lokasi yang tidak lagi strategik.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, soalan itu bakal dikemukakan Datuk Hasanuddin Mohd Yunus (PH-Hulu Langat) kepada Kementerian Pertahanan pada Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri.

Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) pula akan mengajukan pertanyaan kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri mengenai status penyertaan Malaysia dalam Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) memandangkan RCEP akan berkuat kuasa secara rasmi menjelang 1 Januari 2022.

Pada sesi soal jawab pula, Datuk Seri Rohani Abdul Karim (GPS-Batang Lupar) akan bertanya mengenai bagaimana konsep Keluarga Malaysia dapat diterjemahkan menerusi dasar dan pelaksanaan yang dirangka kerajaan agar tidak hanya tertumpu kepada kaum majoriti tetapi meliputi semua lapisan kaum dan bangsa.

Selain itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) ingin tahu status terkini pelaksanaan Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik serta perkara-perkara yang dipersetujui antara kerajaan dan Pakatan Harapan.

Persidangan pada Rabu akan menyambung sesi perbahasan dan penggulungan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

Selain MAFI, perbahasan dan penggulungan turut dijangka melibatkan Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Dewan Rakyat bersidang hingga 16 Disember ini. -Bernama

Artikel Berkaitan: