Bunuh isteri: Bapa empat anak terlepas hukuman gantung, dijel 25 tahun

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

PUTRAJAYA - Seorang lelaki yang sebelum ini dijatuhi hukuman mati kerana memukul isterinya bertubi-tubi sehingga meninggal dunia, terselamat daripada tali gantung selepas Mahkamah Persekutuan pada Rabu menggantikan hukuman itu dengan penjara selama 25 tahun.

Panel tiga hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Rohana Yusuf membuat keputusan itu selepas pendakwaan memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) menerima representasi yang dikemukakan oleh Jamaluddin Ali, 47.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fairuz Johari memaklumkan bahawa pihaknya bersetuju mengurangkan pertuduhan daripada kesalahan membunuh mengikut Sesyen 302 Kanun Keseksaan kepada menyebabkan kematian tanpa niat mengikut Sesyen 304(a) kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara 30 tahun dan denda.

Pada 20 Januari 2017, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman mati ke atas Jamaluddin selepas dia didapati bersalah atas pertuduhan membunuh Nurhidayah A Ghani, 29, di Kampung Petaling Bahagia, Batu 5 1/2 Jalan Puchong di sini pada 9 malam antara 15 hingga 17 Mei 2013 dan hukuman itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan pada 26 Mei 2020.

Rohana yang bersidang bersama-sama Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh dan Datuk Abdul Rahman Sebli sebelum itu berkata, setelah mengambil kira hujahan dan fakta kes, panel itu memutuskan bahawa hukuman penjara 25 tahun adalah setimpal serta memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 20 Mei 2013.

Mohd Zawawi pula berkata, perkahwinan adalah satu ikatan yang suci, setia dan penuh dengan kasih sayang tetapi apabila pasangan mengkhianati maka timbul perasaan marah.

“Tetapi setiap perselisihan ada penyelesaian iaitu dengan mendekati saluran yang betul seperti mahkamah,” katanya.

Peguam Athari Bahardin sebelum itu berhujah, anak guamnya bertindak sedemikian kerana mangsa mempunyai hubungan dengan lelaki lain dan kerap meluangkan masa untuk berparti.

Artikel Berkaitan:

“Ketika perbicaraan kes ini, mahkamah diberitahu bahawa perayu telah membawa mangsa ke hospital setelah melihat wanita itu berada dalam keadaan tenat. Menurut keterangan saksi, perayu juga menangis apabila mengetahui isterinya telah meninggal dunia.

"Perayu mempunyai empat orang anak berusia antara 10 hingga 18 tahun yang kini berada di bawah jagaan ibu perayu," kata peguam itu sambil menambah ini adalah kesalahan pertama anak guamnya.

Mohd Fairuz pula memohon hukuman penjara 25 tahun dikenakan terhadap perayu kerana kejadian itu menyebabkan satu nyawa melayang.

“Sejak berlaku konflik rumah tangga, mangsa telah memfailkan fasakh di Mahkamah Syariah dan beberapa laporan polis dibuat oleh mangsa berkaitan penderaan yang dilakukan oleh perayu. Kes keganasan rumah tangga bukan perkara asing di negara ini dan satu mesej perlu disampaikan kepada masyarakat,” katanya. - Bernama