Permohonan Najib tangguh keputusan rayuan kes seleweng dana SRC ditolak

Najib - Foto fail Bernama
Najib - Foto fail Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini pada Rabu menolak permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menangguhkan tarikh keputusan rayuannya terhadap sabitan dan hukuman bagi kes menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd.

Ia dinyatakan menerusi surat Pejabat Pendaftaran, Mahkamah Rayuan Malaysia yang ditandatangani Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan, Mohd Khairi Haron kepada Tetuan Shafee & Co, pejabat timbalan pendakwa raya, Najib dan dua penjamin.

Ia menyatakan dengan merujuk kepada perkara daripada surat Tetuan Shafee & Co bertarikh 23 November bahawa permohonan untuk penangguhan tarikh keputusan adalah tidak dibenarkan.

Sehubungan itu, mahkamah meminta semua pihak untuk hadir ke Mahkamah Rayuan Putrajaya pada tarikh yang telah ditetapkan iaitu 8 Disember depan.

ARTIKEL BERKAITAN: Najib mohon tarikh keputusan rayuan SRC dilapangkan

Keputusan rayuan Najib dalam kes SRC pada 8 Disember

Sementara itu, sumber daripada pejabat timbalan pendakwa raya mengesahkan bahawa pihak pendakwaan telah menerima surat tersebut.

Pada Selasa, Najib melalui Tetuan Shafee & Co membuat permohonan di Mahkamah Rayuan untuk menangguhkan tarikh keputusan rayuannya dan memberi tarikh-tarikh yang sesuai.

Artikel Berkaitan:

Ini kerana, ahli politik itu perlu menjalani kuarantin selama tujuh hari setelah melawat anak perempuannya, Nooryana Najwa yang baru melahirkan anak kedua di Singapura.

Menurut dokumen firma guaman Tetuan Shafee & Co yang dihantar kepada Pendaftar Mahkamah Rayuan, Najib selaku pemohon berharap tarikh itu ditunda ke minggu berikutnya iaitu 13 hingga 17 Disember, atau mana-mana tarikh lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Sekembali dari Singapura pada 5 Disember, Najib perlu menjalani kuarantin selama tujuh hari sehingga 12 Disember dan hanya boleh menghadiri mahkamah atau perhimpunan awam keesokan hari.

Dokumen itu juga menyatakan bahawa pasukan pendakwaan telah dimaklumkan mengenai perkara itu dan ia tidak membangkitkan sebarang bantahan untuk penjadualan semula berkenaan.

Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan Mahkamah Rayuan menetapkan 8 Disember ini untuk keputusan rayuan Najib terhadap sabitan dan hukuman bagi kesalahan penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP) dalam kenyataan akhbar memaklumkan bahawa keputusan itu akan disampaikan pada jam 9 pagi.