Tahap kesedaran pengguna Malaysia sederhana

No Image Caption
A
A
A

Baru-baru ini KPDNHEP telah menjalankan satu kajian Consumer Empowerment Index (CEI) bagi mendapatkan indeks yang mengukur tahap pendayaupayaan pengguna di Malaysia.

Susah untuk kita sebut dan mungkin susah juga unutk kita faham apa itu pendayaupayaan. Ini bahasa literasi bukan bahasa orang jalanan (street-wise), tetapi sangat perlu kita popularkan.

Pendayaupayaan terbit daripada cantuman dua perkataan iaitu daya dan upaya. Ia adalah terjemahan daripada empowerment. Empowered bermaksud seseorang yang diberi kuasa untuk bertindak.

Pendayaupayaan tidak mempunyai makna jika kuasa atau daya yang diberi dan dimiliki tidak berupaya untuk bertindak. Lebih tepat lagi pengguna yang berdaya upaya adalah mereka yang tahu hak-hak mereka dan disusuli dengan keberanian untuk bertindak.

Inilah sebenarnya roh atau kekuatan yang hendak dibina dalam jiwa pengguna kita. Apakah kepentingan CEI kepada negara dan kita sebagai pengguna?

CEI membantu kerajaan untuk menilai semula program kepenggunaan sedia ada berasaskan data yang dikumpul dan dianalisis.

CEI juga menjadi asas kepada penggubalan dasar perlindungan pengguna yang lebih komprehensif bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berpengetahuan, berdayatahan dan berani bertindak mempertahankan hak mereka.

Artikel Berkaitan:

Kajian CEI 2020 yang meliputi 130 daerah dalam 16 negeri dan melibatkan seramai 12,482 responden dari kawasan bandar dan luar bandar memberi gambaran keseluruhan tahap pendayaupayaan pengguna Malaysia.

Hasil Kajian CEI ini mendapati Indeks Pendayaupayaan Pengguna Malaysia pada tahun 2020 adalah sangat sederhana iaitu 63.1%.

Pengguna Malaysia dilihat sebagai cermat dan berhati-hati dalam membuat pembelian pada skor 68.8% tetapi kurang berdayaupaya dalam membuat tuntutan ganti rugi pada skor 56.1%.

Pengguna lelaki dan pengguna wanita secara relatifnya mempunyai tahap pendayaupayaan yang sama, berbeza hanya 0.4%. Manakala, pengguna berumur 30-39 tahun paling berdayaupaya iaitu 64.8%. Paling rendah adalah pengguna berumur 70 tahun ke atas kerana kurang mahir dalam menggunakan teknologi.

No Image Caption

Kaum Melayu pula menunjukkan pendayaupayaan yang tinggi dengan skor 64% berbanding Bumiputera Sarawak yang mencapai skor terendah pada 53.8%.

Golongan T20 mencatatkan skor tertinggi 69.4% berbanding golongan B40 60.8%, sekali gus menunjukkan kemampuan T20 untuk mempraktikkan kemahiran melalui proses pembelian yang lebih kerap dan pengetahun tentang tuntutan ganti rugi.

Apa yang boleh kita cerap daripada kajian tersebut? Kita akan mendapat gambaran yang jelas jika kita kaitkan dapatan Kajian CEI ini dengan bilangan aduan yang diterima oleh kebanyakan agensi Kerajaan di Malaysia.

Berdasarkan isu-isu yang dibangkitkan dalam sosial media dan corak komen-komen netizen, dapat kita simpulkan bahawa pengguna faham mengenai hak mereka ketika membuat pembelian sama ada dari segi kualiti, pembungkusan mahupun penghantaran.

Sekiranya pengguna mengalami pengalaman pembelian yang kurang memuaskan, mereka tahu, mampu dan berani bertindak mengikut saluran yang betul.

Sebagai contoh, hampir semua pengguna tahu paparan tanda harga itu telah dinyatakan dengan jelas di bawah akta. Tetapi berapa ramai yang bertindak jika tiada tanda harga pada barang-barang tertentu di kedai Aceh berdekatan dengan rumah mereka?

Berapa ramai pula yang bertindak dengan betul terutamanya berkaitan dengan harga barang kawalan seperti gas memasak (LPG) 14kg, minyak masak polibeg 1kg, tepung gandum, petrol RON95 dan diesel.

Barang-barang ini dikawal harganya oleh kerajaan tetapi tidak termasuk caj penghantaran. Namun, untuk pembelian LPG 14kg, berapa ramai yang akan membetulkan penjual jika pengguna membeli sendiri di kedai dan dikenakan harga sebanyak RM30, sedangkan harga kawalan RM26.60.

Tidak berani

Nampaknya, dayaupaya pengguna hanya lantang di media sosial. Mereka hanya menyebut barang mahal, pekedai tidak ikut undang-undang atau menuduh Penguatkuasa KPDNHEP tidur dan tidak buat kerja! Walhal lebih ramai pengguna yang tidak berani ambil tindakan serta-merta di tempat kejadian.

Pengguna yang berdayaupaya gred A adalah mereka yang kaya maklumat, secara spontan membetulkan peniaga yang tidak beretika.

No Image Caption

Pengguna Gred B, tidak berani bersemuka tetapi mengambil gambar barangan, tanda harga, gambar kedai dan lokasi, kemudian laporan rasmi dibuat terus ke agensi terbabit sama ada melalui emel, apps, talian telefon mahupun media sosial.

Untuk menjadi negara maju, Malaysia harus kurangkan jenis pengguna Gred F yang hanya pandai mengomel di ruang pengguna tanpa membuat aduan rasmi, tiada sebarang bukti termasuk resit.

Bila agaknya pengguna Malaysia boleh ditransformasi menjadi Pengguna Gred A atau PenggunaPower? Hanya kesediaan dan sikap pengguna yang menentukan!

Namun, usah bimbang. KPDNHEP sebagai kementerian yang menerajui isu kepenggunaan, telah dan sedang melaksanakan pelbagai usaha dan inisiatif untuk membantu pengguna menjadi berani bertindak dan mampu menyelesaikan masalah bersabit dengan bekalan dan harga barang melalui saluran yang betul.

Matlamat akhir kementerian dalam menggubal dan melaksanaan dasar terutamanya yang berkaitan dasar kepenggunaan di Malaysia adalah untuk meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat.

Pepatah Inggeris mengatakan “you can lead a horse to the water, but you can't make him drink”. Kementerian akan terus laksanakan inisiatif, program advokasi, kempen kepenggunaan, tetapi akhirnya yang menentukan tahap pendayaupayaan adalah sikap dan kesediaan pengguna.

Sudah tiba masanya pengguna mainkan peranan menjadikan diri mereka berdaya upaya untuk memperkasakan hak-hak sendiri. Jangan hanya melempar komen sarkastik di media sosial serta mengharap pihak berwajib ambil tindakan.

Selamat menjadi Pengguna Power yang berdaya upaya!