'Banjir lumpur terburuk landa Ampang'

Pegawai Daerah Hulu Langat, Dr Aini Ahmad memberi taklimat tingkat mengenai kejadian banjir lumpur di kawasan terjejas
Pegawai Daerah Hulu Langat, Dr Aini Ahmad memberi taklimat tingkat mengenai kejadian banjir lumpur di kawasan terjejas
A
A
A

AMPANG - 162 keluarga di Pinggir Tiga dan Lembah Jaya Utara di sini menyifatkan banjir lumpur yang melanda kawasan itu lewat petang Isnin adalah yang terburuk dalam tempoh hampir 10 tahun lalu.

Shafikah Suhaimi, 28, berkata, banjir pernah berlaku pada 2012, namun kerana tempoh agak lama ramai penduduk tidak membuat sebarang persediaan awal dalam menghadapi bencana itu kali ini.

Shafikah yang tinggal bersama suami serta dua anak berkata, air lumpur memenuhi ruang rumah dengan cepat menyebabkan mereka sekeluarga tidak sempat menyelamatkan barangan termasuk perkakas elektrik.

Shafikah (kiri) yang ditempatkan di Dewan Lembah Pantai menerima lawatan Zuraidah pada Selasa.
Shafikah (kiri) yang ditempatkan di Dewan Lembah Pantai menerima lawatan Zuraidah pada Selasa.

"Banyak barang rosak dalam sekelip mata akibat banjir lumpur berpunca daripada hujan lebat lewat petang itu," katanya ketika ditemui selepas lawatan Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraidah Kamaruddin di Dewan Lembah Pantai di sini pada Selasa.

Hadir sama, Pegawai Daerah Hulu Langat, Dr Aini Ahmad.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Beberapa kawasan sekitar Ampang dilanda banjir kilat

Mangsa banjir Ampang dipindahkan

Banjir kilat terburuk landa Bukit Belacan

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Rosnita Yahya, 44, pula mengakui terpaksa bergelut untuk menyelamatkan harta benda kerana sebaik dia pulang ke rumah kejadian berkenaan sedang berlaku.

"Tak sempat selamatkan barang-barang kerana air naik mengejut kerana ketika kejadian saya baru pulang dari tempat kerja malah terpaksa berlindung di tempat selamat sebelum dapat pulang ke rumah.

"Hari ini baru boleh bersihkan rumah penuh dengan selut dan terpaksa buang banyak harta benda yang musnah akibat banjir," katanya turut memaklumkan mengalami kerugian sekitar RM7,000.

Situasi getir turut dihadapi Siti Nor Syafiqah Gusalim, 24, yang meninggalkan dua anaknya di rumah yang didiami keluarganya di kawasan dilanda banjir lumpur.

"Saya tinggal di pangsapuri berdekatan, dari rumah saya dapat lihat air mula memasuki bahagian rumah penduduk di kawasan rendah termasuk rumah keluarga dan masa itu saya terus bergegas ke rumah mereka.

"Pagi ini baru boleh cuci rumah. Habis rumah dipenuhi selut, ditambah pula banyak harta benda seperti perabot, pakaian, barang elektrik di rumah mereka (keluarga) rosak," katanya.

Sementara itu, Zuraidah ketika ditemui pemberita memaklumkan semua agensi terlibat kini sedang mendapatkan semua maklumat berkaitan termasuk mengenalpasti punca kejadian.

Menurutnya, bantuan makanan dan keperluan lain turut disediakan kepada 801 mangsa yang terjejas di dua kampung utama termasuk yang dipindahkan ke pusat pemindahan di Dewan Lembah Pantai.