X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 29 Mei 2022

TMJ bidas mutu pengadilan perlawanan TFC menentang JDT

Foto Instagram HRH Crown Prince of Johor
A
A

PEMILIK Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim membidas mutu pengadilan yang lemah pada perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia 2021 membabitkan Terengganu FC (TFC) menentang JDT di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak malam tadi.

Menerusi ciapan di Twitternya, Tunku Mahkota Johor itu senada dengan penyokong yang melahirkan rasa kecewa terhadap pengadil perlawanan tersebut, Tuan Ahmad Yassin yang gagal menjalankan tugasnya dengan baik.

“Setuju. Pengadil memang teruk. Saya sudah melihat keseluruhan rakaman. Pengadil ini yang mengadili ketika pasukan kami menentang Kelantan dan individu sama yang mengadili perlawanan Negeri Sembilan lawan Sarawak, semuanya sama tak bagus.

“Terjahan yang dilakukan majoriti pasukan di liga super dan Piala Malaysia adalah bahaya dan perlu kita perbaiki,” katanya sebagai membalas pertanyaan peminat bola sepak tanah air yang mempertikaikan sikap pengecut pengadil perlawanan yang gagal melayangkan kad kuning selepas melakukan dua 'professional foul' dalam masa tiga minit pada perlawanan tersebut.

Selain insiden itu, kejadian yang berlaku pada minit ke-70 perlawanan, di mana pemain pertahanan Australia, Shane Lowry begitu jelas melakukan kekasaran terhadap Jordan Mintah yang sudah pun terjatuh dan kemudian menolak penjaga gol Terengganu, Suhaimi Husin yang cuba untuk meleraikan pergaduhan tanpa layangan kad kuning turut dipersoalkan.

Dalam pada itu, Tunku Ismail menggesa penggunaan Video Bantuan Pengadil (VAR) segera digunakan memandangkan perkara sama kerap berlaku setiap tahun selain menggesa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil tindakan segera berkaitan isu tersebut.

Dalam aksi yang berlangsung pada malam semalam, TFC berjaya membuka tirai jaringan menerusi Jordan Mintah sebelum penyerang JDT, Bergson Da Silva berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-51 yang menyaksikan keputusan seri 1-1 kekal hingga tamat perlawanan.

Kedua-dua pasukan itu akan bertemu sekali lagi pada Jumaat aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Jumaat ini bagi merebut slot ke final Piala Malaysia 2021 30 November ini.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!