Bayaran fasa dua BKC Khamis ini

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

PUTRAJAYA- [KEMASKINI] Bayaran fasa dua Bantuan Khas Covid-19 (BKC) akan dibuat mulai Khamis ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bayaran kedua itu melibatkan 700,000 penerima isi rumah, individu bujang dan warga emas yang tergolong dalam kategori miskin dengan peruntukan sebanyak RM300 juta.

"Pembayaran seterusnya iaitu fasa tiga BKC akan dilaksanakan mengikut jadual yang telah ditetapkan iaitu pada Disember ini melibatkan peruntukan sebanyak RM1.2 bilion untuk 3.8 juta penerima isi rumah kategori miskin dan B40," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, kerajaan akan memastikan bantuan yang disediakan dapat disalurkan secara berkesan.

"Ingin saya tegaskan kerajaan sentiasa peka terhadap keluh-kesah rakyat dan berharap pembayaran BKC ini mampu meringankan beban rakyat yang masih terkesan akibat pandemik Covid-19," katanya.

BKC merupakan sebahagian daripada inisiatif Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) selain bayaran tambahan kepada pakej rangsangan ekonomi.

Pada 28 Jun 2021, kerajaan mengumumkan Pakej Pemulih sebagai antara inisiatif pemberian bantuan menyeluruh kepada rakyat dalam mengharungi kesan akibat pandemik Covid-19.

BKC fasa pertama telah selesai dibuat pada September lalu dengan peruntukan sebanyak RM3.1 bilion dan memanfaatkan hampir 10 juta penerima.

Artikel Berkaitan:

Semakan status kelulusan BKC boleh dibuat melalui Portal BKC, iaitu https://bkc.hasil.gov.my.

Untuk maklumat lanjut termasuk kriteria penerima dan jumlah bantuan yang bakal diterima, warga Keluarga Malaysia boleh merujuk Jadual 2 serta Soalan Lazim (FAQ) yang turut dimuat naik di portal berkenaan.