Dua lelaki hadapi tiga pertuduhan termasuk membunuh

Tertuduh diiring polis di Mahkamah Majistret Port Dickson pada Selasa.
Tertuduh diiring polis di Mahkamah Majistret Port Dickson pada Selasa.
A
A
A

PORT DICKSON - Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Port Dickson pada Selasa atas tiga pertuduhan iaitu membunuh, menculik dan menyamar sebagai anggota polis dua minggu lalu.

Tertuduh M Murugan, 44, yang bekerja sebagai ketua pengawal keselamatan dan Wong Yon Kuan, 43, merupakan penganggur hanya mengangguk faham bagi pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 364 selepas dibacakan di hadapan Majistret V Vanita.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan berasingan, tertuduh bersama tiga lagi yang masih bebas telah membunuh dan melarikan seorang juruteknik A Vasudevan, 39, hingga dibunuh.

Perbuatan itu dilakukan pada 13 November 2021 di antara jam 5.40 pagi hingga 9.45 pagi di Jalan Springhill 3/3, Bandar Springhill, Lukut di Port Dickson.

Jika sabit kesalahan bagi Seksyen 302, tertuduh boleh dihukum mati dan Seksyen 364 boleh dihukum mati atau dengan penjara 30 tahun dan akan disebat jika tidak dikenakan hukuman mati.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh bersama tiga lagi yang masih bebas telah menyamar sebagai anggota polis kepada S Hindumathy, 38, pada tarikh dan di lokasi sama.

Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan itu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fatin Nur Athirah Zainuddin dan kedua-dua tertuduh diwakili peguam, T Harpal Singh.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah menetapkan 23 Disember depan sebutan semula kes.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, polis sedang mengesan empat lagi individu.

"Lelaki yang dikehendaki itu ialah Davadas A/L Anpankam (Deva), 41, beralamat di N0 4 Batu 15 ½ Templer Park, Rawang, Selangor, Xavier A/L Peter (Beckam @ Bob), 42, beralamat di 02-12 Blok Selasih, Taman Tun Teja, Batu 6, Rawang, Selangor.

"Selain itu Murugan A/L Christnan (Romeo), 40, beralamat di No 717, Tingkat 6, Blok C, Taman Prima Selayang, Batu Cave, Selangor dan Panirselvam A/L Subramaniam (Panir), 31, beralamat di 10-1-23 Jalan 2/1a, Taman Kepong Indah, Kuala Lumpur," katanya.