X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 05 Disember 2021

[VIDEO] Pemandu bas tidak berhenti solat Subuh kena tindakan

Status yang dimuat naik Muhammad Safwan di Facebook pada Ahad.
A
A

KUALA TERENGGANU - Syarikat Bas, Sani Ekspress Sdn Bhd mengambil tindakan terhadap pemandu bas yang didakwa tidak berhenti solat Subuh serta meninggalkan penumpang dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur ke Jertih, Terengganu pada Sabtu lalu.

Sani Ekspress menerusi satu kenyataan memaklumkan, pemandu tersebut tidak lagi diberi tugas sebagai pemandu bas buat masa ini dan siasatan dalaman akan dilakukan dalam tempoh terdekat.

Jelas kenyataan tersebut, pemandu berkenaan akan dikenakan tindakan disiplin seperti amaran, kaunseling, latihan semula atau tindakan lanjut mengikut prosedur syarikat.

"Berhenti rehat dan solat adalah prosedur wajib bagi semua pemandu Sani Express semasa dalam perjalanan. Solat lima waktu adalah perkara wajib yang harus ditunaikan oleh umat Islam.

"Pihak syarikat berasa kesal atas apa yang berlaku dan memandang serius berhubung insiden itu. Kami juga ingin memohon maaf atas insiden yang berlaku dan berjanji akan berusaha supaya perkara ini tidak berulang," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Pada Ahad tular di media sosial seorang pengguna akaun Facebook, Muhammad Safwan memuat naik status menceritakan kejadian dialami sepanjang perjalanan menaiki bas tersebut.

Katanya, pemandu bas berkenaan tidak memberikan sebarang reaksi apabila ditanya lokasi bas berhenti untuk menunaikan solat Subuh.

"Letih arini (hari ini) naik Sani Express trip (perjalanan) MKB58. Dah la driver (pemandu) tak berhenti solat Subuh. Bila tanya nak berhenti kat mana, dia wat (buat) senyap. Buat muka 'keras', buat tak tahu.

"Bila berhenti buang air di stesen Setiu, dia tinggal pulak (pula) penumpang. Padahal dia tengok kita masuk tandas. Tak cek (periksa) bilangan penumpang sebelum gerak.

"Mohon syarikat Sani Express ambik tindakan kepada driver trip MKB58 Tbs-Jerteh 11:30 malam, 20/11/2021. Solat ni perkara no 1. Baik tukar driver bukan Islam jah (saja) senang, tak berhenti solat pon (pun) orang tak kata," katanya dalam hantaran yang dimuat naik di media sosial.

Sementara itu, penumpang berkenaan yang hanya ingin dikenali sebagai Muhammad Safwan berkata, dia berterima kasih kerana isu itu mendapat maklum balas syarikat pengangkutan berkenaan.

Katanya, apa yang berlaku bukan dialami dia seorang malah terdapat beberapa penumpang yang tampil menyuarakan perkara sama.

"Saya harap apa yang berlaku jadi pengajaran kepada semua supaya berubah menjadi lebih baik dan dapat menjadikan solat sebagai keutamaan dalam apa jua keadaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!