Yayasan UMP lancar nombor pendaftaran khas UC 1- UC 9999

Abdul Aziz bertukar dokumen perjanjian bersama Nabiha disaksikan Dr Yuserrie (kiri) dan Muqharabbin pada Majlis Menandatangani MoA antara Yayasan UMP dan Syarikat Aquatwo Sdn Bhd pada Isnin.
Abdul Aziz bertukar dokumen perjanjian bersama Nabiha disaksikan Dr Yuserrie (kiri) dan Muqharabbin pada Majlis Menandatangani MoA antara Yayasan UMP dan Syarikat Aquatwo Sdn Bhd pada Isnin.
A
A
A

KUANTAN - Yayasan Universiti Malaysia Pahang (Yayasan UMP) bakal melancarkan nombor pendaftaran kenderaan khas 'UC' 1 hingga 9999 menjelang sambutan ulang tahun ke-20 UMP.

Bidaan nombor pendaftaran itu dijangka dibuka kepada orang awam menjelang Januari tahun hadapan selepas proses pewartaannya selesai.

Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, melalui pembelian nombor pendaftaran kenderaan khas itu, Yayasan UMP dijangka memperoleh pulangan RM3.5 juta bagi fasa pertama.

Menurutnya, proses bidaan akan dilakukan secara dalam talian dengan nilai bidaan bermula RM1,000 untuk nombor empat digit dan RM200,000 bagi nombor tunggal.

"Pelancaran 'identiti UMP' itu sebahagian usaha Yayasan UMP meningkatkan sumber pendapatan dan hasilnya nanti akan disalurkan untuk pelbagai program kebajikan bagi manfaat pelajar dan golongan memerlukan," katanya pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara Yayasan UMP dan Syarikat Aquatwo Sdn Bhd bagi tujuan itu di sini, pada Isnin.

Yayasan UMP diwakili Abdul Aziz dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Datuk Ts Dr Yuserrie Zainuddin yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMP manakala Aquatwo Sdn Bhd diwaliki Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Muqharabbin Mokhtaruddin dan Pengarah Urusan, Nabiha Mustapha.

Abdul Aziz berkata, melalui perjanjian itu, syarikat berkenaan akan bertanggungjawab dalam proses bidaan, pemasaran dan jualan.

Sementara itu, dalam majlis sama berlangsung MoA antara UMP bersama empat pemain industri bagi penawaran Biasiswa Kecemerlangan Latihan Industri kepada pelajar UMP cemerlang.

Artikel Berkaitan:

Abdul Aziz berkata, melalui kerjasama strategik itu, syarikat terlibat, NextGreen Pulp & Paper Sdn Bhd, Chua Ming Hooi Construction Sdn Bhd, Hardex Corporation Sdn Bhd dan EC Excel Wire Sdn Bhd akan menawarkan biasiswa kepada pelajar terpilih yang cemerlang dalam akademik dan menunjukkan bakat kepimpinan yang tinggi.

"Kerjasama itu akan memberi manfaat kepada pelajar terlibat melalui sokongan kewangan dan penempatan latihan industri sepanjang pengajian di UMP.

"Selain itu, mereka juga berpeluang untuk membina kerjaya di syarikat tersebut selepas tamat pengajian," katanya.