X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 29 November 2021

Kapit King sasar 3 juta balang setahun

Noraisah bersama suami, Muhamad Safaie (kiri) yang sentiasa menyokong antara satu sama lain dalam memajukan Kapit King.
A
A

Keazaman yang tinggi untuk meneruskan perniagaan arwah ibu, Ruminah Mukibi menjadi satu legasi keluarga telah mendorong Pengasas dan Pengarah Urusan Kapit King Virallicious (Kapit King), Noraisah Ahmad tekad meninggalkan kerjaya sebagai seorang pendidik.

Meskipun telah mempunyai kerjaya yang terjamin, Noraisah mahu mencabar dirinya menceburi perniagaan itu secara serius untuk menggapai impiannya menjadi seorang usahawan yang berjaya dan memberikan manfaat kepada penduduk setempat.

Noraisah, 39, yang berpengalaman membantu arwah ibunya memasarkan kuih kapit di Kuala Lumpur, menjadi satu kelebihan untuk beliau mengambil alih perniagaan.

“Saya menjalankan perniagaan ini bersama suami, Muhamad Safaie M Razali dan kuih ini telah diinovasikan untuk memenuhi permintaan dan menjadikannya kudapan pilihan utama sekali gus berbeza dengan kuih yang sama dalam pasaran.

“Kuih kapit digemari ramai, namun agak sukar dihasilkan menyebabkan tidak ramai yang menceburi perniagaan kuih ini. Namun, ia bukanlah penghalang untuk saya meneruskan perniagaan ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Kapit King didatangkan dengan rasa yang rangup, isi melimpah dan tahan lama mendorong ia mendapat permintaan tinggi.

“Walaupun zaman kian berubah seiring dengan 1001 keinginan pelanggan, saya yakin boleh melakukan transformasi kepada resipi kuih kapit warisan keluarga dengan menjadikan ia lebih unik serta lain daripada yang lain,” kata anak kelahiran Sungai Besar, Selangor itu.

Modal RM5,000

Noraisah memulakan perniagaan hanya bermodalkan RM5,000 dan pada peringkat awal, beliau menggunakan mesin pemberian arwah ibunya serta membuat kuih kapit di rumah sahaja.

Tuah pasangan tersebut terserlah pada kuih kapit kerana mereka tidak menyangka perniagaan yang dijalankan dari rumah itu mula mendapat sambutan luar jangkaan.

Sebahagian pekerja Noraisah sedang melakukan kerja-kerja pembungkusan produk Kapit King.
Sebahagian pekerja Noraisah sedang melakukan kerja-kerja pembungkusan produk Kapit King.

Pada peringkat awal, beliau menerima banyak pesanan sehingga mereka mampu menghasilkan 500,000 balang dalam masa setahun.

Sehingga pada satu tahap, Noraisah terpaksa mengehadkan jumlah pesanan daripada para pelanggan kerana mesin-mesinnya tidak dapat menghasilkan kuih kapit melebihi kapasiti maksimum harian.

“Disebabkan kami hanya beroperasi di rumah, ia menyukarkan pelanggan yang ingin datang membeli. Rumah kami tidak sesuai untuk dikunjungi kerana dipenuhi dengan stok barangan dan mesin.

“Saya membuat keputusan untuk membuka kedai di Sijangkang, pada tahun 2016 dengan modal sebanyak RM10,000 untuk memudahkan pelanggan datang membeli produk dan kami jadikan sebagai tempat menyimpan stok.

“Ia juga memberi keselesaan kepada pekerja dengan persekitaran yang lebih baik,” katanya.

Mengulas lanjut, Noraisah berkata, pemindahan operasi dari rumah ke kedai lima pintu di Sijangkang nyata mampu meningkatkan jumlah penghasilan kuih kapit sebanyak enam kali ganda berbanding jumlah sebelumnya iaitu sebanyak 3 juta balang setahun.

“Ketika itu permintaan kuih kapit dalam kalangan pelanggan dan ejen-ejen terus meningkat sehingga menyebabkan satu insiden litar pintas di bahagian pengeluaran kuih kapit kerana mesin beroperasi tanpa henti.

“Ada satu masa permintaan terlampau tinggi, jadi saya terpaksa hadkan jumlah pesanan kerana ia melebihi kapasiti penghasilan oleh mesin,” katanya.

Wisma sendiri

Noraisah (dua dari kanan) bersama sebahagian daripada pekerjanya.
Noraisah (dua dari kanan) bersama sebahagian daripada pekerjanya.

Mengulas tentang perancangan masa depan perniagaannya, Noraisah mempunyai pelbagai rancangan untuk mengembangkan perniagaannya supaya jenamanya lebih dikenali di seluruh negara.

Beliau menyasarkan untuk menambah 1,000 ejen di seluruh Malaysia menjelang akhir tahun 2022 berbanding kini Kapit King telah mempunyai 300 ejen yang kebanyakannya wanita bekerja dan suri rumah.

“Kami mahu menambah ejen baru kerana niat saya untuk membantu suri rumah yang ingin mencari sumber pendapatan. Ini satu ibadah,” katanya.

Selain itu, Noraisah juga berhasrat untuk membuka satu cawangan kedai kuih kapit di Singapura sebagai rancangan jangka panjang.

Produk Kapit King telah menembusi pasaran di luar negara seperti Singapura dan Brunei.

Beliau berkata, sebagai usaha mengukuhkan kedudukan Kapit King dalam pasaran tempatan dan antarabangsa, Noraisah kini telah menghasilkan produk makanan lain di bawah jenama sendiri seperti kuih bangkit, baulu, kuih tapak kuda dan kerepek bagi membantu penduduk setempat menjana pendapatan.

“Saya berharap perniagaan ini boleh pergi lebih jauh dan boleh diwarisi turun-temurun dan Kapit King lebih dikenali semua orang sebagai jenama yang diyakini masyarakat serta setanding dengan produk antarabangsa.

“Saya harap kuih tradisional ini terus menjadi pilihan masyarakat berbilang bangsa khususnya golongan muda,” katanya.

Sementara itu, senada dengan Noraisah, Muhamad Safaie ingin membantu mengembangkan perniagaan itu dengan membina sebuah wisma di Batu 9, Sijangkang dalam tempoh dua tahun akan datang.

Katanya, wisma tersebut akan dibina di kawasan itu yang dijangka akan menempatkan banyak mesin sekali gus memacu peningkatan pengeluaran produk Kapit King.

Hubungi hotline 010-4322600 untuk sebarang maklumat dan pertanyaan berkaitan Kapit King.

PROFIL

Nama: Noraisah Ahmad

Nama perniagaan: Kapit King Virallicious (pembekal & pengedar pelbagai kuih)

Facebook: Aisyah Ahmad (Nora)

FB Page: Kapit King Virallicious-HQ

Instagram: kapitkingvirallicious_hq

HUBUNGI HOTLINE KAPIT KING 010 - 432 2600


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!