PRN Melaka: Kemenangan BN tidak boleh dijadikan kayu ukur PRU15

Chua Wei Kiat
Chua Wei Kiat
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang memihak kepada Barisan Nasional (BN) tidak boleh dijadikan kayu ukur dalam menentukan kedudukan Pakatan Harapan (PH) di Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Chua Wei Kiat berkata, senario politik antara Melaka dan Selangor adalah berbeza disebabkan tempoh pentadbiran PH di kedua-dua negeri tersebut.

"PH di Melaka hanya 22 bulan pentadbiran merupakan tempoh yang singkat dan tidak mencukupi untuk melaksanakan perubahan dalam program dan dasar untuk lebih mendekati rakyat.

"Berbanding di Selangor, kami telah mentadbir negeri ini selama tiga penggal dan membuktikan keupayaan PH untuk mentadbir negeri dengan lebih cekap serta berintegriti," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kemenangan besar BN yang berjaya mendapat 21 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka menewaskan PH yang memperoleh lima kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) dua kerusi.

Mengulas lanjut, Wei Kiat berkata, kemenangan BN itu adalah disebabkan beberapa faktor antaranya kadar pengundi yang rendah berbanding pada 2018 lalu.

"Ramai yang berkerja di luar Melaka dan tidak balik atau tidak dapat balik untuk mengundi. Ada juga pengundi yang risau dengan penyebaran Covid-19.

"Kalau mengikut undi popular BN dengan 38 peratus manakala PH sebanyak 35 peratus. Angkanya tidak jauh berbeza namun keputusan (menang kerusi) jauh beza," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu katanya, kemerosotan bilangan keluar mengundi juga adalah disebabkan prosedur operasi standard (SOP) yang amat ketat sekali gus menyebabkan calon sukar untuk sampai kepada pengundi dan kempen PRN menjadi kurang panas.

"Kalau mengikuti tinjauan, tiada gabungan yang mendapati sokongan melebihi 40 peratus maka pada pandangan saya, rakyat masih memerhati prestasi semua gabungan politik.

"Walau bagaimanapun, kita akan ambil keputusan PRN Melaka sebagai satu 'alert' (peringatan)," jelasnya.