X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 22 Mei 2022

Laporan siasatan kes seleweng dana MITRA hampir selesai

A
A

KUALA LUMPUR - Laporan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai kes penyelewengan dana Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) membabitkan 10 syarikat hampir siap.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya akan menyerahkan laporan hasil siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam tempoh terdekat untuk dicadangkan pertuduhan.

Menurut beliau, siasatan sedang dilakukan ke atas 17 lagi syarikat menerusi fasa pertama berhubung pengurusan dana itu.

"Kita bekerjasama dengan Kementerian Perpaduan Negara menerusi penubuhan jawatankuasa untuk meneliti tuntutan yang lain," katanya pada sidang akhbar pada majlis pelancaran Kempen Kesedaran Pencegahan Rasuah Di Pengangkutan Awam: Usahasama SPRM dan MRT Corp di sini pada Isnin.

Azam berkata, pihaknya turut melihat sistem dan prosedur yang diamalkan oleh kerajaan dalam pemberian geran itu kepada penerima yang layak.

"Kita nampak banyak kelompangan yang berlaku dalam pemberian geran berkenaan. Terdapat dua perkara dalam siasatan SPRM iaitu satu berbentuk jenayah dan satu lagi untuk penambahbaikan prosedur supaya ia tidak berulang pada masa akan datang," katanya.

Pada Oktober lalu, SPRM mengumumkan penahanan 16 pengarah syarikat disyaki terlibat penyelewengan geran peruntukan MITRA.

Kesemua suspek ditahan dalam satu operasi besar-besaran di sekitar Lembah Klang bermula 25 Oktober dan dianggarkan puluhan juta ringgit dilesapkan oleh kumpulan itu yang pada asalnya memohon geran peruntukan MITRA bagi melaksanakan program sosio ekonomi masyarakat India di Malaysia.

Menurut sumber itu lagi, pasukan penyiasat SPRM mempunyai kekangan untuk menyiasat kesemua kira-kira 337 program yang telah disalurkan peruntukan dan pendekatan diambil ialah memberi fokus kepada peruntukan melebihi RM1 juta pada masa ini.

Siasatan SPRM dalam dua fasa dengan Fasa Satu memberi tumpuan kepada kira-kira 27 syarikat, persatuan dan NGO yang telah menerima antara RM1 juta hingga RM9 juta.

Bagi Fasa Dua pula SPRM akan bekerjasama dengan Kementerian Perpaduan Negara untuk menubuhkan pasukan khas siasatan dalaman bagi memberikan tumpuan ke atas kira-kira 310 syarikat yang telah menerima peruntukan di bawah RM 1 juta,” kata sumber berkenaan.

Sumber itu berkata, bagi penerima geran peruntukan di bawah RM1 juta, pasukan penyiasat telah mengenal pasti syarikat-syarikat terbabit dan pasukan khas yang dibentuk daripada SPRM dan kementerian itu akan memanggil semua yang terlibat untuk mereka membuktikan bahawa semua geran yang diterima telah dibelanjakan sebagaimana yang dipohon.

"Setakat hari ini, seramai 18 pengarah syarikat ditahan bagi membantu siasatan dan lebih ramai akan ditahan memandangkan fokus tumpuan pasukan penyiasat di Fasa Satu ini ialah terhadap penerima-penerima geran bernilai RM1 juta dan lebih,” kata sumber itu.

Sumber itu juga berkata daripada 10 syarikat yang disiasat setakat ini, didapati 80 peratus daripadanya telah menyalahgunakan dan menyeleweng peruntukan untuk kepentingan peribadi.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!