KPWKM peruntuk RM7.35 juta hadapi monsun timur laut

Rina (kiri) meninjau barang keperluan untuk mangsa banjir yang ditempatkan di Depoh Simpanan Keperluan Bencana Kuantan sempena Majlis Pelancaran InfoBencana JKM 2.0 di Kuantan pada Ahad.
Rina (kiri) meninjau barang keperluan untuk mangsa banjir yang ditempatkan di Depoh Simpanan Keperluan Bencana Kuantan sempena Majlis Pelancaran InfoBencana JKM 2.0 di Kuantan pada Ahad.
A
A
A

KUANTAN - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memperuntukkan sebanyak RM7.35 juta untuk diagihkan kepada semua negeri sebagai persiapan menghadapi monson timur laut.

Peruntukan disediakan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) itu bagi tujuan pembelian barang keperluan asas dan makanan kepada mangsa bencana banjir yang terjejas.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, selain peruntukan itu, JKM melalui kerjasama kerajaan Persekutuan dan kerajaan Negeri telah melaksanakan tindakan kesiapsiagaan termasuk mengenal pasti dan menyediakan 5,693 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh negara yang boleh menampung 1.63 juta mangsa bencana itu pada satu-satu masa.

Menurutnya, daripada jumlah PPS itu, 134 buah berkapasiti besar, 1,970 buah berkapasiti sederhana dan 3,627 buah berkapasiti kecil.

Rina (tiga kiri) diberikan taklimat berhubung InfoBencana JKM 2.0 yang dilancarkan pada Ahad.
Rina (tiga kiri) diberikan taklimat berhubung InfoBencana JKM 2.0 yang dilancarkan pada Ahad.

"Semua pusat-pusat pemindahan yang dikenal pasti itu melibatkan fasiliti sekolah, dewan orang ramai, balai raya dan pusat komuniti setempat.

"Bagi Negeri Pahang, sebanyak 778 PPS telah dikenal pasti yang mampu menempatkan 163,875 mangsa pada satu-satu masa," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya di Majlis Pelancaran Sistem InfoBenca JKM 2.0 di Depoh Simpanan Keperluan Bencana Kuantan di sini pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Rina berkata, JKM juga turut bersiapsiaga dan sentiasa bersedia untuk menggerakkan 20,467 sumber manusia terdiri 5,299 pegawai JKM, 172 kaunselor dan pegawai psikologi, 1,867 sukarelawan kaunselor dan 13,129 sukarelawan JKM.

"Bagi tujuan itu, latihan dan simulasi pengurusan banjir telah diadakan melibatkan 1,250 sukarelawan sebagai persiapan untuk berkhidmat di PPS.

"Difahamkan terdapat 4,000 sukarelawan yang aktif membantu JKM dalam memberikan perkhidmatan kepada kumpulan sasar," katanya.

Rina berkata, KPWKM melalui JKM juga mempunyai prosedur operasi standard (SOP) dalam pengurusan PPS bagi membendung penularan Covid-19.

Rina(tengah) meninjau barang keperluan untuk mangsa banjir yang ditempatkan di Depoh Simpanan Keperluan Bencana Kuantan sempena Majlis Pelancaran InfoBencana JKM 2.0 di Kuantan pada Ahad.
Rina(tengah) meninjau barang keperluan untuk mangsa banjir yang ditempatkan di Depoh Simpanan Keperluan Bencana Kuantan sempena Majlis Pelancaran InfoBencana JKM 2.0 di Kuantan pada Ahad.

"SOP itu disediakan secara bersama antara kementerian, JKM, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Kementerian Kesihatan dan agensi-agensi yang berkaitan dengan pengurusan bencana.

"SOP itu memberi penekanan kepada aspek pengurusan catuan makanan di PPS yang akan dibuat secara makanan berbungkus, saringan kesihatan, penjarakan fizikal kubikel dan kebersihan," katanya.

Tambah beliau, JKM juga turut mengadakan kolaborasi dan kerjasama strategik bersama institusi pengajian tinggi serta badan korporat untuk membantu jabatan menjalankan tugas dan peranannya di dalam pengurusan bencana negara.