PRN Melaka: Pengundi positif Covid-19 dikesan

 Jabatan Kesihatan Negeri Melaka mengesahkan seorang pengundi pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Jeram di sini, dikesan positif Covid-19. Gambar hiasan
Jabatan Kesihatan Negeri Melaka mengesahkan seorang pengundi pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Jeram di sini, dikesan positif Covid-19. Gambar hiasan
A
A
A

MASJID TANAH- Jabatan Kesihatan Negeri Melaka mengesahkan seorang pengundi pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Jeram di sini, dikesan positif Covid-19.

Menurut Pengarah Kesihatan Negeri Melaka, Dr Rusdi bin Abd Rahman, individu terbabit disahkan positif Covid-19 sejurus keputusan makmal swasta dikeluarkan pada Sabtu.

“Pada 20 November 2021, Pejabat Kesihatan Daerah Alor Gajah telah menerima notifikasi dari Covid-19 Assessment Centre (CAC) Melekek, terdapat seorang kes positif Covid-19 yang telah keluar mengundi di salah sebuah pusat mengundi di daerah Alor Gajah.

“Keputusan ujian bagi pesakit ini diterima dari makmal swasta setelah beliau selesai proses mengundi,” jelas beliau dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Dr Rusdi, individu terbabit tidak menunjukkan sebarang gejala ketika mengundi.

Bagaimanapun, tindakan segera telah diambil bagi memastikan tiada penularan wabak itu berlaku di pusat mengundi berkenaan.

Sehubungan itu, beliau berkata, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Alor Gajah telah mengambil tindakan dengan mengarahkan pihak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) di pusat mengundi terlibat untuk menutup sementara kawasan berisiko termasuk saluran mengundi untuk proses disinfeksi menyeluruh.

“Disinfeksi ini telah dijalankan dengan kerjasama pihak bomba. Pihak SPR telah mengambil langkah segera membuka bilik baharu sebagai saluran mengundi dengan menggunakan peralatan yang baharu,” katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut memberitahu, pasukan pemantauan PKD Alor Gajah juga telah diarahkan ke pusat mengundi berkenaan untuk memastikan kawalan infeksi dijalankan secara teratur.

Jabatan Kesihatan Negeri, jelas Dr Rusdi, memandang serius insiden berkenaan dan akan menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara itu.

“Semua kontak rapat dan sosial sedang disiasat oleh Bilik Gerakan PKD Alor Gajah.

“Sehubungan itu, saya memohon orang ramai agar merujuk kepada kenyataan rasmi oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan JKN Melaka,” kata Dr Rusdi lagi.

Orang ramai boleh menghubungi Crisis Preparedness and Response Center (CPRC) Melaka di talian 06-2345999 atau melalui e-mel cprcmelaka@moh.gov.my untuk maklumat lanjut. - Awani

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my