Pusat mengundi ditutup, proses kira undi bermula

Proses pengundian PRN Melaka tamat selepas 217 pusat pengundian ditutup pada 5.30 petang ini. - Foto Bernama
Proses pengundian PRN Melaka tamat selepas 217 pusat pengundian ditutup pada 5.30 petang ini. - Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Proses pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang bermula 8 pagi tadi tamat selepas 217 pusat pengundian ditutup pada 5.30 petang ini.

Mengikut senarai daftar pemilih, pengundian membabitkan 476,037 pengundi biasa daripada keseluruhan 495,195 pengundi dan dikendalikan oleh seramai 12,290 petugas pilihan raya di semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Sejurus selepas pusat pengundian ditutup, kesemua peti undi daripada 1,109 saluran itu dibawa ke 28 pusat penjumlahan undi di sini dan keputusan rasmi akan diumumkan malam ini oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh.

Pada 16 November lepas, seramai 11,557 orang adalah pengundi awal yang terdiri daripada anggota tentera dan pasangan serta polis selesai menunaikan tanggungjawab masing-masing membabitkan 31 pusat pengundian awal dengan 47 saluran manakala seramai 7,601 orang layak mengundi secara pos.

Secara keseluruhan, jumlah pusat mengundi bagi PRN Melaka ialah 248 dengan 1,156 saluran.

Seramai 112 calon bertanding dengan Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) bertanding di semua 28 kerusi manakala Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) di lima kerusi, Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) (satu) dan Bebas (22).

PRN Melaka diadakan berikutan pembubaran DUN pada 4 Okt lepas susulan tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali. - Bernama

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my

Artikel Berkaitan: