X

Kindly register in order to view this article
!

Penduduk gesa bina saluran parit

Penduduk menunjukkan kawasan parit yang dikorek atas inisiatif mereka kepada Abd Nasir (tengah).
A
A

BALING - Penduduk Kampung Padi Kering dalam Mukim Siong memohon pihak berwajib membina saluran parit bagi mengelakkan terus menjadi mangsa limpahan air bukit.

Penduduk, Wan Adnan Wan Omar, 61, berkata, limpahan air kira-kira lebih 500 meter dari kawasan Bukit Tualang akan mengalir masuk ke dalam 10 buah rumah penduduk setiap kali musim hujan lebat.

"Masalah ini telah berlaku bertahun-tahun lamanya dan belum ada longkang dibina sebagai jalan penyelesaian.

"Rumah Pak Long bila banjir air akan masuk kawasan dapur. Rumah jiran pula, air banjir sampai masuk ke kawasan telaga yang diguna untuk minum dan cemarkan sumber air itu," katanya kepada Sinar Harian di Kampung Padi Kering, semalam.

Tambahnya, penduduk memohon saluran parit dibina dari kawasan kebun, kawasan penduduk hingga ke parit di seberang jalan raya.

Penduduk, Mariaton Manaf, 73, berkata, limpahan berkenaan turut membawa air kumbahan daripada parit berhampiran ke dalam rumahnya.

"Setiap kali banjir, basahlah tikar-tikar dalam rumah ini. Nak kena angkat dan bersihkan. Selagi tak surut banjir, tak boleh nak letak apa-apa pun," katanya.

Katanya, wakil daripada kerajaan lama telah beberapa kali meninjau masalah tersebut tetapi tidak diketahui mengapa saluran parit tidak dibina.

"Tidak kira lah siapa perintah sekarang, kami berharap kerajaan dapat membantu," katanya.

Bagi penoreh getah, Naim Abdul Rahman, 46, berkata, air banjir menyebabkan laluan utama ke kebun bertakung dan becak.

"Bila kami tak boleh lalu dengan motosikal, terpaksalah parkir dan jalan kaki ke kebun sejauh 500 meter. Nak ambil hasil pula nak kena lalu jalan alternatif yang lebih jauh bila hujan lebat," katanya.

Sementara itu, ADUN Bayu, Abd Nasir Idris ketika melakukan tinjauan berkata, beliau difahamkan, saluran parit kira-kira 100 meter baru dikorek agensi berkaitan di sebelah jalan ke Bukit Tualang namun lokasinya tidak bersesuaian.

Menurutnya, penduduk juga membina saluran parit di kawasan kebun namun tidak dapat dikorek hingga ke kawasan parit utama kerana kekangan tertentu.

"Saya sarankan agensi berkenaan dapat berbincang dengan penduduk supaya menghasilkan solusi terbaik bagi menyelesaikan masalah ini," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!