Hab Lembu Pedaging Felda Sahabat peneraju dasar sekuriti makanan

Mustapa memberikan garam jilat pada kawanan lembu sewaktu melawat pusat ternakan lembu selepas merasmikan Hab Lembu Pedaging Felda Sahabat di Bandar Anjung Teduh pada Sabtu. - Foto Bernama
Mustapa memberikan garam jilat pada kawanan lembu sewaktu melawat pusat ternakan lembu selepas merasmikan Hab Lembu Pedaging Felda Sahabat di Bandar Anjung Teduh pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

LAHAD DATU - Hab Lembu Pedaging Felda Sahabat di sini yang membabitkan kawasan seluas 6,837.46 hektar diyakini mampu menjadi peneraju Dasar Sekuriti Makanan Negara dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, keyakinan itu bersandarkan potensi dan kelebihan Felda itu yang mempunyai tanah luas dan bebas penyakit.

Selain itu, Felda Sahabat juga mempunyai akses pasaran sehingga ke Brunei selain memiliki kemudahan logistik yang disokong fasiliti pelabuhan berdekatan.

"Hab lembu pedaging ini akan dilaksanakan dengan dana permulaan RM12.4 juta yang merupakan sebahagian daripada peruntukan kerajaan menerusi inisiatif Program Pembangunan Peneroka (PPP).

"Sebanyak 2,100 ekor lembu akan diterima sehingga Jun tahun depan secara berperingkat dan dijalankan dengan konsep penternakan integrasi serta perdagangan.

"Felda optimis mengunjurkan kapasiti pengembangan sehingga 6,000 ekor lembu dalam tempoh tiga tahun ini," katanya pada Majlis Perasmian Hab Lembu Pedaging PPP di Felda Wilayah Sahabat di sini pada Sabtu.

Mustapa (dua, kanan) mendengar penerangan mengenai baka lembu oleh penternak lembu Program Pembangunan Peneroka Bakri Pawerdi. - Foto Bernama
Mustapa (dua, kanan) mendengar penerangan mengenai baka lembu oleh penternak lembu Program Pembangunan Peneroka Bakri Pawerdi. - Foto Bernama

Artikel Berkaitan:

Turut hadir, Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata, projek lembu pedaging ini turut dilaksanakan dengan Koperasi Sahabat Satu hingga Lima membabitkan seramai 871 ahli koperasi yang terdiri daripada peneroka di gugusan Felda itu.

"Menerusi projek ini juga, kita menjangkakan dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang, semua peserta yang terlibat dalam projek ini akan mendapat pendapatan tambahan sebanyak RM1,000 setiap orang.

"Sebab itu, kerajaan memandang serius projek ini kerana ia mempunyai potensi besar selain memberi manfaat kepada peneroka terbabit," katanya.

Tambahnya, antara lain objektif pelaksanaan projek itu ialah untuk menjadikan Sabah sebagai pengeluar lembu pedaging yang besar dalam negara.

"Kita difahamkan setakat ini Sabah hanya mengeluarkan 10 peratus atau kira-kira 2,000 daripada 50,000 keperluan tahunan lembu pedaging," katanya.

Mustapa memasang tanda pada telinga seekor lembu ketika melawat pusat ternakan lembu selepas merasmikan Hab Lembu Pedaging Felda Sahabat di Bandar Anjung Teduh pada Sabtu. - Foto Bernama
Mustapa memasang tanda pada telinga seekor lembu ketika melawat pusat ternakan lembu selepas merasmikan Hab Lembu Pedaging Felda Sahabat di Bandar Anjung Teduh pada Sabtu. - Foto Bernama

Sementara itu, Mustapa turut memberitahu, sebanyak RM132 juta telah diluluskan daripada dana PPP yang berjumlah RM1 bilion setakat ini.

Jelasnya, kelulusan itu melibatkan 6, 513 projek PPP di seluruh negara yang bertujuan membantu meningkatkan pendapatan peneroka Felda.

"Hab Lembu Pedaging Felda Sahabat ini antara yang menerima peruntukan paling besar daripada kesemua projek yang telah diluluskan," katanya.