2,712 graduan Usim terima ijazah

Graduan Usim gembira menerima ijazah masing-masing.
Graduan Usim gembira menerima ijazah masing-masing.
A
A
A

SEREMBAN - Seramai 2,712 graduan telah dianugerahkan ijazah sempena Majlis Konvokesyen ke-16 Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) yang berlangsung selama tiga hari bermula dari 27 hingga 29 November, baru-baru ini.

Majlis Istiadat Pembukaan telah disempurnakan oleh Canselor Usim, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud di Dewan Tuanku Canselor.

Graduan terdiri daripada 113 orang penerima doktor falsafah (PhD), 119 orang (sarjana), 101 orang (diploma) dan 2,379 orang (sarjana muda).

Graduan PhD paling ramai pada tahun ini dan mereka datang dari 15 negara iaitu Algeria, Bahrain, Mesir, Brunei, Indonesia, Iraq, Jordan, Oman dan Libya.

Konvokesyen Usim ke-16 ini turut mencatat sejarah tersendiri apabila Tun (Dr) Zaki Tun Azmi dimasyhurkan sebagai Pro-Canselor Usim.

Dalam pada itu, Usim turut meraikan tiga penerima Anugerah Ijazah Kehormat iaitu Tan Sri Abdul Wahid Omar dan Prof Datuk Dr Muhamad Muda dengan masing-masing menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Ekonomi Dan Pentadbiran Muamalat.

Manakala Mohd Alwi Yusoff pula dianugerah Ijazah Kehormat Sarjana Pengajian Quran Dan Sunnah.

Turut menyempurnakan penyampaian ijazah kepada graduan sepanjang lima sidang Majlis Konvokesyen Usim adalah Pro-Canselor Usim iaitu Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dan Tun (Dr) Zaki Tun Azmi.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, graduan Sarjana Muda Perubatan dan Surgeri, Zakeyyah Zabarjad Mohd Said dan graduan Sarjana Muda Undang-undang dan Syariah, Muhammad Syafiq Suhaimi dipilih menerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang).

Turut menerima anugerah adalah Ahmad Kamil Jamilin dan Fakhry Ajmal Amir, masing-masing graduan PhD dan sarjana muda yang menerima Anugerah Canselor manakala Nur Sakinah Hamzah menerima Anugerah Naib Canselor.

Pada Majlis Konvokesyen ini, seisi dewan berkongsi rasa hiba dan duka apabila ibu dan bapa kepada dua graduan Usim yang telah meninggal dunia sebelum sempat berkonvokesyen naik ke pentas untuk menerima ijazah secara anumerta.

Graduan Sarjana Muda Sains dengan Kepujian (Sains Aktuari dan Pengurusan Risiko), Allahyarhamah Nurnadiana Ramlee meninggal dunia pada 9 April 2018 kerana jangkitan virus kronik pada kulit dan organ dalaman.

Manakala graduan Sarjana Muda Fiqh dan Fatwa dengan Kepujian (FSU), Allahyarhamah Sahadah Ajik pula meninggal dunia pada 10 Februari 2018 setelah berjuang menghadapi penyakit kronik iaitu kegagalan buah pinggang tahap akhir.

Pada kali ini ini, tema Konvokesyen Usim adalah Pembangunan Lestari yang mana ia merupakan satu bentuk tindak balas terhadap keperluan manusia dalam menyeimbangkan keperluan menjaga kepentingan alam sekitar dan keperluan pembangunan sosio ekonomi.

Di dalam al-Quran terkandung beberapa intipati dan prinsip yang tersurat mahu pun tersirat berkenaan pembangunan lestari.

Antaranya, adil (keadilan), mizan (keseimbangan), wasat (kesederhanaan), rahmah (kebaikan dan belas kasih), amanah, taharah (penyucian spiritual dan fizikal), haq (kebenaran dan pengiktirafan) dan ilmu nafi’ (pengaplikasian ilmu dan nilai saintifik).