Yayasan Sofa, Nora jalin kerjasama

Nora dan Mohd Hanif selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Yayasan Sofa dan Datuk Nora di Seremban pada Khamis.
Nora dan Mohd Hanif selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Yayasan Sofa dan Datuk Nora di Seremban pada Khamis.
A
A
A

SEREMBAN - Yayasan Sofa Negeri Sembilan (Yayasan Sofa) menjalinkan kerjasama dengan penyanyi popular, Datuk Nora Ariffin atau nama sebenarnya Wan Noraafiza Ariffin dalam usaha memartabatkan pembangunan institusi tahfiz di negara ini.

Yang Dipertua Yayasan Sofa, Ustaz Mohd Hanif Hamid berkata, Nora yang merupakan 'public figure' dan masih dikenali ramai kini membawa imej Muslimah dan aktif menghasilkan lagu-lagu berunsur Islamik.

"Antara kriteria Datuk Nora membuatkan Yayasan Sofa mahu bekerjasama dengan beliau adalah sifat keibuannya selain mempunyai pengalaman sendiri menghantar anak ke pusat tahfiz.

"Pengikut dan peminat beliau juga cenderung ke arah keagamaan dan beliau juga dilihat lebih banyak menerbitkan lagu ketuhanan termasuk rancangan animasi berjudul 'Ummi' yang dinyanyikan oleh ramai anak-anak terutama di tadika," katanya selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Yayasan Sofa dan Datuk Nora di sini pada Khamis.

Menurutnya, Nora juga sebagai seorang ibu dan usahawan yang berjaya dilihat sebagai simbolik terhadap kejayaan dalam memikul tanggungjawab mendidik anak-anak.

Jelas beliau, menerusi kolaboratif bersama Nora, ia dapat memperhebatkan lagi promosi dan aktiviti pembangunan institusi tahfiz menerusi pelbagai platform sedia ada.

Sementara itu, Nora berkata, kerjasama itu merupakan satu anjakan paradigma dalam kerjaya seninya sekali gus kesinambungan kepada dirinya untuk berhijrah ke arah lebih baik.

"Saya bukanlah ustazah atau pakar motivasi, ini merupakan tanggungjawab besar kepada diri saya untuk sama-sama mempromosi dan memantapkan institusi tahfiz dan turath Yayasan Sofa.

Artikel Berkaitan:

"Saya melihat Yayasan Sofa sebagai sebuah pondok moden yang serba serbi lengkap dan patut menjadi contoh kepada maahad tahfiz lain untuk memastikan pelajarnya mendapat pendidikan seimbang dunia akhirat," katanya.

Pada masa sama kata Nora, dia teruja kerana diberi peluang bekerjasama dengan institusi agama itu yang secara tidak langsung mendekatkannya dengan ilmu.