Pencemaran bahan kimia: Dua sekolah dibuka esok

Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Pasir Putih antara yang menutup operasi selepas didapati tercemar dengan bahan kimia.
Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Pasir Putih antara yang menutup operasi selepas didapati tercemar dengan bahan kimia.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Status dua sekolah yang terlibat dalam kejadian pencemaran sisa bahan kimia pada 7 Mac lalu, adalah selamat untuk proses pembelajaran murid.

Timbalan Pengarah Pendidikan Johor, Azman Adnan berkata, informasi rasmi itu diterima daripada Exco Hal Ehwal Agama Islam dam Pendidikan negeri, Aminolhuda Hassan.

Menurutnya, pengesahan itu selepas mendapat maklumat berkaitan status keselamatan di dua sekolah yang terlibat daripada bomba dan agensi berkaitan.

"Kedua-dua sekolah itu akan dibuka dan beroperasi seperti biasa esok seperti makluman dalam kenyataan media Jabatan Pendidikan Negeri Johor pada 9 Mac lalu.

"Pengetua dan guru besar diminta untuk memanjangkan semula makluman ini kepada semua guru, ibu bapa dan murid di sekolah terlibat," katanya di sini hari ini.

Salah seorang sukarelawan ketika membersihkan fabrik di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Pasir Putih, hari ini.
Salah seorang sukarelawan ketika membersihkan fabrik di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Pasir Putih, hari ini.

Azman berkata, berdasarkan lawatannya ke dua sekolah berkenaan pada hari ini, proses pembersihan dan gotong royong telah selesai dijalankan tanpa sebarang masalah.

Menurutnya, proses dilakukan hasil permuafakatan sekolah bersama dengan pelbagai agensi kerajaan, persatuan ibu bapa dan guru (PIBG), sektor swasta serta komuniti setempat.

Artikel Berkaitan:

"Secara keseluruhannya sekolah bersedia untuk operasi pembelajaran seperti biasa pada hari esok. Saya ingin merakamkan ucapan penghargaan terima kasih kepada semua pihak yang bersama-sama memastikan kedua-dua sekolah ini dapat beroperasi seperti biasa.

"Dimaklumkan juga Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Johor akan mengadakan lawatan ke dua-dua buah sekolah berkenaan jam 7.15 pagi esok," katanya.

Dua sekolah dimaksudkan adalah Sekolah Kebangsaan Taman Pasir Putih dan Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Pasir Putih.

Pada 7 Mac lalu, kedua-dua sekolah tersebut disyorkan ditutup hingga hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Pencemaran bahan kimia: Kerja pembersihan 2 sekolah lancar