Remaja perempuan antara 188 individu ditahan terlibat dadah

Ramli (kiri) bertanyakan sesuatu kepada salah seorang individu yang ditahan dalam Ops Sarang yang diadakan selama tiga hari berakhir pada Rabu.
Ramli (kiri) bertanyakan sesuatu kepada salah seorang individu yang ditahan dalam Ops Sarang yang diadakan selama tiga hari berakhir pada Rabu.
A
A
A

KUANTAN - Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun antara 188 individu ditahan dalam Ops Sarang Khas yang diadakan secara serentak selama tiga hari di lima daerah di Pahang.

Operasi yang berakhir pada Rabu itu dilaksanakan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Pahang dengan beberapa agensi membabitkan daerah Kuantan, Bera, Pekan, Rompin dan Bentong dengan memberi tumpuan 12 kawasan pengedaran dan penagih dadah di kawasan Felda.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kesemua individu yang ditahan melibatkan seorang wanita, seorang remaja perempuan dan 186 lelaki berusia antara 15 hingga 65 tahun.

Menurutnya, remaja perempuan itu didapati terlibat dalam aktiviti penagihan dadah ketika berusia 13 tahun.

"Hasil soal siasat, remaja berkenaan mempunyai enam beradik dan ibu bapanya juga terlibat dalam aktiviti penagihan dadah," katanya pada sidang akhbar Ops Sarang Khas 2021 siri keenam di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan pada Rabu.

Ramli berkata, operasi menggempur sarang pengedar dan penagih itu dilakukan secara serbuan dari rumah ke rumah.

"Dalam serbuan itu, polis merampas 361.09 gram heroin, syabu (91.26 gram) dan 1.5 liter air ketum yang dianggarkan bernilai RM21,779," katanya.

Menurutnya, semua penagih ini juga didapati memiliki rekod jenayah lampau dan dikategorikan sebagai penagih dadah berulang.

Artikel Berkaitan:

"Hasil daripada operasi ini, polis menahan 10 individu disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah berbahaya jenis heroin dan syabu di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman gantung mandatori.

“Seramai empat individu ditahan mengikut Seksyen 39A (2) ADB 1952 kerana disyaki memiliki dadah jenis heroin dan syabu, tujuh individu lagi ditahan mengikut Seksyen 39 A(1) ADB 1952 da Seksyen 12(2) akta sama (35 individu).

“Seterusnya, bagi kesalahan positif air kencing seramai 123 individu ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952, manakala dua individu ditahan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1953 kerana disyaki memiliki air ketum,” katanya.

Dalam pada itu, Ramli berkata, Ops Sarang tidak akan berhenti dan dilakukan dalam beberapa siri lagi.

Katanya, sepanjang tempoh Januari hingga Oktober 2021, JSJN Pahang telah merekodkan 7,582 kes berkaitan dadah dengan 8,736 tangkapan.

"Sepanjang tempoh 10 bulan itu, kita berjaya merampas pelbagai jenis dadah dengan nilai rampasan sebanyak RM3.4 juta serta RM4.8 juta nilai sitaan harta,” katanya.

Sebarang maklumat kegiatan atau aktiviti dadah boleh disalurkan ke Pusat Kawalan Kontinjen Pahang (CCC) di talian 09-5051999/2022 dan hotline JSJN di talian 012-2087222 atau mana-mana balai polis berdekatan.