'Kakak pengsan selepas saya beritahu rumah kami terbakar'

Salah sebuah rumah yang terlibat dalam kebakaran berkenaan.Gambar Kecil : Muhammad, Siti Noraisyah .
Salah sebuah rumah yang terlibat dalam kebakaran berkenaan.Gambar Kecil : Muhammad, Siti Noraisyah .
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang pemuda bersyukur kerana berjaya menyelamatkan kakaknya selepas bersusah payah memapah wanita tersebut yang pengsan selepas diberitahu rumah mereka terbakar dalam kejadian di Lorong Nik Pa, Jalan Sultanah Zainab di sini, awal pagi tadi.

Muhammad Sha'ari, 21, berkata, kakaknya, Norain Natasya Sha'ari, 22, pengsan akibat terkejut rumah yang didiami bersama ibu mereka, Ronajaidah Abdul Kadir, 56, terbakar.

"Sebelum itu, saya terdengar laungan orang meminta tolong. Saya terus keluar rumah untuk periksa dan melihat api sedang marak. Saya terus berlari ke dalam rumah dan kejutkan kakak dan mak yang sedang tidur di tingkat atas rumah. Bagaimanapun kakak pengsan akibat terkejut bila saya beritahu rumah kami terbakar.

"Sangat mencemaskan, kerana saya terpaksa memapah kakak untuk keluar dari rumah sebab api semakin marak," katanya kepada Sinar Harian, pada Rabu.

Menurut Muhammad Sha'ari, dia mengalami luka di kaki akibat terkena kayu rumah yang sedang terbakar ketika menyelamatkan dua wanita tersebut.

"Saya terpaksa melalui rumah-rumah lain yang sedang terbakar kerana rumah kami terletak paling hujung. Walaupun sehelai sepinggang tetapi saya sangat bersyukur kerana kami semua selamat," kata mangsa kebakaran itu lagi.

Farid (tengah) mendapatkan maklumat terperinci daripada mangsa kejadian.
Farid (tengah) mendapatkan maklumat terperinci daripada mangsa kejadian.

Muhammad salah seorang daripada lebih 30 mangsa dalam kebakaran melibatkan sembilan buah rumah di Lorong Nik Pa, jam 2.56 pagi Rabu.

Artikel Berkaitan:

Dalam kejadian berkenaan, tujuh daripada sembilan rumah berkenaan adalah berpenghuni dan mereka masing-masing sedang lena tidur.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Siti Noraisyah Kamaruzaman, 33, berkata, adik lelakinya yang kebetulan tinggal di rumah sebelah datang memberitahunya mengenai kebakaran itu.

"Ketika itu asap sudah mula memasuki rumah saya dan terus kejutkan adik perempuan dari tidur. Kami sempat keluar dari rumah kerana kebetulan tidur di tingkat bawah sedangkan api bermula dari bahagian atas rumah tetapi saya cuma sempat capai telefon bimbit," katanya.

Sementara itu, Ketua Cawangan Bahagian Penyiasatan Kebakaran, Jabatan Bomba Dan Penyelamat Kelantan, Mohd Farid Ismail memaklumkan, punca kejadian masih dalam siasatan.

"Kami masih menjalankan siasatan berhubung punca kejadian dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat. Pada masa sama siasat jumlah kerugian sebenar akibat kemusnahan yang berlaku," katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Yang Dipertua, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Negeri Kelantan (MAIK), Zulkifle Ab Rahman menyampaikan bantuan segera kepada mangsa yang terlibat iaitu RM2,000 bagi satu keluarga yang terlibat