X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 20 Mei 2022

Hafizh masih menanti perkhabaran TMJ

Hafizh Syahrin
A
A

BEKAS pelumba Moto2 negara Hafizh Syahrin Abdullah masih menanti perkhabaran daripada Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menzahirkan minat menajanya Jun lepas.

Hafizh, yang kini berada di London, United Kingdom atas urusan peribadi berkata, beliau menunggu waktu sesuai untuk menghadap Tunku Ismail selepas difahamkan baginda sibuk dengan urusan pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim selain membantu rakyat Johor yang berhadapan dengan pandemik Covid-19.

“Belum ada lagi (perkhabaran penajaan), baginda sangat sibuk ketika ini kerana ada kerja lain yang perlu diselesaikannya. Lepas balik Malaysia, saya sudah 'free' dan tidak buat apa-apa, mungkin tunggu waktu sesuai (menghadap baginda),” katanya kepada pemberita baru-baru ini.

Tunku Ismail menarik perhatian peminat sukan permotoran tanah air selepas mezahirkan hasrat menaja pelumba Moto2 negara itu semasa reaksi balas baginda terhadap satu soalan sama ada berminat untuk menaja Hafizh, yang dilontarkan seorang pengguna Instagram.

“Saya berminat,” demikian reaksi ringkas terhadap soalan berkenaan dalam sesi soal jawab di laman Instagram baginda.

Hafizh yang bakal membuat penampilan sulung pada Kejohanan Superbike Dunia (WSBK) bersama pasukan Mie Racing Honda bermula musim 2022, mengucapkan selamat tinggal kepada dunia Moto2, Ahad lepas.

Dalam perlumbaan terakhirnya pada saingan Moto2, pelumba pasukan NTS RW Racing GP itu, menamatkan saingan di tempat ke-15 daripada 25 pelumba pada Grand Prix (GP) Valencia di Litar Ricardo Tormo, Sepanyol.

Penghijrahan ke WSBK juga menyaksikan pelumba berusia 27 tahun itu menamatkan perjalanan karier selama lapan musim dalam saingan MotoGP, termasuk dua musim bersaing untuk kelas perdana pada 2018 dan 2019, sejak menjadi pelumba sepenuh masa pada 2014. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!