'Tidak wujud kartel PDRM’

Hamzah
Hamzah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Siasatan dalaman Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati tidak wujud ‘kartel’ dalam agensi itu seperti didakwa sebelum ini.

Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, bagi memastikan ketelusan, pihaknya telah membawa perkara itu kepada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP) untuk meneruskan siasatan.

“Berkenaan dakwaan wujud kartel dalam PDRM, siasatan dalaman telah dilakukan oleh PDRM dan didapati tiada kartel sebagaimana yang telah dinyatakan.

“Walau bagaimanapun bagi memastikan ketelusan perkara ini di bawa kepada SIAP untuk meneruskan siasatan lanjut,” katanya ketika sesi penggulungan Bajet 2022 di Dewan Rakyat pada Selasa.

Mengulas lanjut mengenai dakwaan wujud ‘kartel’ dalam PDRM, Hamzah menjelaskan, semua individu yang terbabit dengan perkara itu telah diambil kenyataan.

“Segala isu yang dibangkitkan mana-mana pihak akan diberikan penyiasatan sewajarnya berdasarkan laporan yang dibuat oleh pengadu, bagaimana mana-mana isu yang dibangkitkan tanpa butiran pengadu tidak akan dilayan

“Budaya fitnah untuk membentuk persepsi buruk tanpa bertanggungjawab atas isu yang ditimbulkan merupakan satu perbuatan yang sangat tidak bertanggungjawab,” ujarnya.

Tambahnya, tindakan akan diambil berdasarkan laporan polis yang bersandarkan kepada maklumat dan aduan yang sahih sahaja, bukannya dalam bentuk surat layang sama ada secara fizikal atau digital.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian pada Mac lalu melaporkan, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador ketika itu mendedahkan wujudnya gerakan dalaman daripada kalangan pegawai muda dalam PDRM yang bercita-cita untuk menjatuhkan beliau.

Menurutnya, gerakan tersebut juga merupakan kumpulan sama yang mendalangi kartel dalam PDRM yang berhasrat mendominasi pasukan keselamatan negara demi kepentingan mereka.