Karangkraf menerusi WUIF wakaf 1,000 set al-Quran perkukuh komuniti

BANDAR SAUJANA PUTRA - Al-Quran bukan sekadar sumber ilmu dan panduan kehidupan, malah berperanan menjadi pengikat hubungan masyarakat serta wadah membina ketenangan jiwa ketika berdepan pelbagai cabaran kehidupan.
Bertitik tolak daripada matlamat itu, Kumpulan Karangkraf meneruskan usaha memperkasa komuniti menerusi Program Wakaf Al-Quran 2026 dengan menyasarkan pengagihan 1,000 set wakaf kepada masjid, surau, institusi pendidikan dan organisasi korporat terpilih di seluruh negara.
Inisiatif bertemakan ‘Satu Komuniti, Satu Al-Quran: Membina Jalinan, Menyubur Ketenangan’ itu dilaksanakan melalui Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dari November hingga Disember, dengan memberi tumpuan khusus kepada golongan miskin bandar di sekitar Lembah Klang.
Setiap wakaf mengandungi al-Quran, Yasin, buku-buku Islamik serta bahan bacaan kerohanian bagi menyediakan akses kepada sumber ilmu dan penghayatan Islam yang boleh dimanfaatkan secara berterusan oleh masyarakat setempat.
Ketua Komunikasi Korporat dan Hubungan Strategik Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin berkata, kekuatan sesebuah komuniti bukan hanya bergantung kepada kemampuan memenuhi keperluan fizikal, sebaliknya turut terletak pada keupayaan anggotanya untuk saling menyokong ketika berdepan kesukaran.
Menurutnya, menerusi inisiatif itu, Karangkraf mahu memperkukuh peranan institusi komuniti sebagai ruang pembelajaran, pemahaman dan penghayatan al-Quran dalam kehidupan seharian.
“Melalui inisiatif ‘Satu Komuniti, Satu Al-Quran’, tujuan utama kami adalah untuk memperkukuh institusi komuniti sebagai ruang yang mendorong pembelajaran, pemahaman dan penghayatan al-Quran dalam kehidupan seharian.
“Usaha ini bukan sekadar memberi bantuan fizikal, malah menjadi wadah untuk memupuk kesejahteraan mental dan kerohanian sekali gus membentuk masyarakat yang lebih resilien, harmoni dan sejahtera,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program CSR Waqaf Set Quran 'Satu Komuniti, Satu Al-Quran' Karangkraf 2026 di Masjid Bandar Saujana Putra, Jln SP 2, Bandar Saujana Putra, Jenjarom di sini pada Ahad.
Beliau berkata, program berkenaan adalah kesinambungan usaha Karangkraf membantu masyarakat selepas melaksanakan Program CSR Karangkraf Ramadan Food Drive 2026 yang memberi tumpuan kepada keperluan asas komuniti.
Menurutnya, pendekatan kali ini diperluas dengan memberi perhatian kepada kesejahteraan mental, emosi dan kerohanian bagi membantu masyarakat berdepan tekanan kehidupan serta cabaran kos sara hidup.
"Selain pengagihan set wakaf, Karangkraf turut merancang mewujudkan Quran Corner di lokasi terpilih sebagai ruang komuniti untuk menggalakkan aktiviti pembacaan, tadabbur, perkongsian ilmu dan interaksi sosial positif.
"Inisiatif itu dijangka menjadikan masjid, surau, sekolah dan pejabat bukan sekadar tempat menjalankan aktiviti harian, malah pusat penyatuan masyarakat yang menggalakkan budaya saling menyokong serta berteraskan nilai Islam," katanya.
Dalam pada itu, Karangkraf mengalu-alukan penyertaan pewakaf, rakan strategik dan organisasi korporat untuk bersama-sama menjayakan program berkenaan bagi memperluas manfaat kepada lebih ramai komuniti yang memerlukan.
Menerusi usaha itu, Karangkraf berharap budaya ilmu dan penghayatan al-Quran terus disemarakkan, selain memperkukuh jaringan sosial serta memupuk kesejahteraan mental dan kerohanian yang mampu memberikan kesan positif berpanjangan kepada masyarakat.
Sementara itu, Timbalan Nazir Masjid Bandar Saujana Putra, Mohamed Aswan Mat Adini berkata, sumbangan berkenaan memberi manfaat kepada pihak masjid, selain menjadi dorongan kepada pelbagai pihak untuk bersama-sama menyokong usaha membudayakan al-Quran dalam kalangan masyarakat.
Beliau berkata, penyerahan wakaf itu juga bertepatan dengan penganjuran majlis khatam al-Quran di masjid berkenaan, sekali gus menyuntik semangat kepada jemaah daripada pelbagai peringkat umur untuk terus mendekati kitab suci itu.
“Alhamdulillah, bagi pihak masjid, kami melihat program wakaf ini memberi manfaat yang baik kerana dapat menambah bahan bacaan al-Quran.
“Pada masa sama, kita dapat melihat semangat pihak luar yang turut menyokong usaha pembangunan dan pembudayaan al-Quran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


