17,000 pengunjung meriahkan Ehsan Family Fiesta 2026

SHAH ALAM - Ehsan Family Fiesta 2026 anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) melabuhkan tirainya pada Ahad dengan sambutan yang cukup luar biasa apabila menarik kehadiran seramai 17,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya bermula 27 November lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS, Datuk Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata, penganjuran fiesta kali ini mencerminkan komitmen pihaknya dalam memperkukuh hubungan dengan masyarakat, bukan sahaja menerusi peranannya selaku peneraju sektor agromakanan Selangor, tetapi juga rakan komuniti yang prihatin terhadap keperluan rakyat.

Menurutnya, sepanjang tiga hari penganjuran, orang ramai berpeluang mendapatkan barangan keperluan asas pada harga subsidi yang lebih rendah berbanding harga pasaran menerusi Jualan Ehsan Rahmah Madani (JER).
"Antara yang menjadi tumpuan pengunjung termasuk ayam segar pada harga RM5 seekor (9,000 ekor untuk tiga hari); keli segar empat ekor untuk RM5; tilapia merah (empat ekor untuk RM10 dan lampin pakai buang juga RM5.
"Ehsan Family Fiesta 2026 turut menampilkan pelbagai aktiviti kekeluargaan, persembahan hiburan, cabutan bertuah, pameran hasil pertanian seperti Selangor Fruit Valley dan jualan produk usahawan tempatan, sekali gus menyediakan ruang interaksi antara PKPS, rakan strategik serta masyarakat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas perasmian penutup Ehsan Family Fiesta 2026 di pekarangan Wisma PKPS di sini.

Menerusi program sama, PKPS melancarkan lapan produk baharu di bawah jenama Maakan dan MiiNoom menerusi PS Ehsan Global Industries Sdn Bhd di bawah PKPS.
Maakan memperkenalkan lima produk makanan tempatan iaitu Rendang Ayam, Rendang Daging, Sambal Cili Bawang, Dendeng Daging dan Daging Masak Lemak Cili Api.
MiiNoom pula menampilkan tiga variasi minuman iaitu Air Kelapa Pandan, Jus Nenas MD2 dan Jus Jambu Asam Boi.
Pada majlis sama, PKPS turut menzahirkan keprihatinan terhadap kebajikan mangsa banjir apabila menyalurkan sumbangan bakul makanan berjumlah keseluruhan RM20,000 kepada wakil kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang terjejas, memanfaatkan 50 isi rumah di Jeram, Bukit Melawati dan Ijok.

Sementara itu, Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir Izham Hashim ketika menyampaikan ucapan penutupan Ehsan Family Fiesta 2026 berpandangan, sambutan menggalakkan sepanjang tiga hari ini menunjukkan bahawa inisiatif di bawah jenama Ehsan terus mendapat perhatian masyarakat melalui pelbagai program yang menawarkan manfaat secara langsung kepada rakyat.
Tambah beliau, segala keuntungan dan keberhasilan yang dijana PKPS menerusi program-program berkaitan sekuriti makanan sama ada hiliran mahupun huluan mesti dikembalikan semula kepada rakyat.
“Dalam mendepani cabaran kos sara hidup, Kerajaan Selangor akan terus komited memastikan bekalan makanan sentiasa mencukupi, stabil dan mampu milik.
"Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada PKPS dan warga Selangor yang sentiasa menyokong program-program agromakanan negeri," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
