[VIDEO] KPKT sasar satu pasar awam setiap negeri jadi produk pelancongan

A
A
A

IPOH – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyasarkan sekurang-kurangnya sebuah pasar awam di setiap negeri dibangunkan sebagai mercu tanda dan destinasi pelancongan bagi menarik lebih ramai pengunjung.

No Image Caption

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, sasaran itu memberi tumpuan kepada pasar awam berpotensi, khususnya di kawasan pelancongan serta ibu negeri menerusi pendekatan transformasi reka bentuk dan kemudahan.

Menurutnya, usaha berkenaan bertujuan menjadikan pasar bukan sekadar tempat urusan jual beli malah berfungsi sebagai pusat komuniti dan tarikan pelancong yang mampu merancakkan ekonomi setempat.

“Fasa pertama kita fokuskan pasar-pasar yang berpotensi khasnya di kawasan pelancongan dan ibu negeri. Sasaran kita setiap negeri akan mempunyai sebuah pasar yang menjadi destinasi pelancongan.

“Di Kuala Terengganu, Pasar Payang telah berjaya menjadi destinasi pelancongan malah terkenal sebagai pusat membeli batik dan keropok lekor Terengganu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Konsep Reka Bentuk Pasar Pasir Puteh di Pasar Sementara Pasir Puteh di sini pada Ahad.

Kor Ming berkata, Pasar Besar Ipoh juga berpotensi menjadi tarikan pelancongan apabila selesai menjalani proses transformasi, termasuk menempatkan pameran seni, kraf tangan serta jualan Batik Perak.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pembangunan semula pasar awam berskala besar bernilai lebih RM10 juta kini diwajibkan melalui pertandingan seni bina bagi memastikan reka bentuk yang dihasilkan lebih inovatif, berdaya huni dan mesra alam.

Sementara itu, beliau berkata, KPKT memperuntukkan RM9 juta bagi membangunkan semula Pasar Pasir Puteh yang mengalami kebakaran pada 13 Februari 2024 sehingga lebih 90 peratus struktur asalnya musnah.

Katanya, pasar baharu itu bakal mempunyai dua tingkat serta dilengkapi sistem tenaga solar, ruang berhawa dingin dan sistem penuaian air hujan bagi kegunaan pembersihan lantai.

“Pasar bukan saja akan menjadi pusat beli-belah dan pusat komuniti, namun berpotensi dibangunkan sebagai destinasi pelancongan.

"Kita mahu menjadikan bandar raya lebih berdaya huni, mesra alam dan selamat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Kor Ming berkata, KPKT turut meluluskan peruntukan RM60 juta bagi tahun 2027 untuk kerja-kerja baik pulih dan naik taraf medan selera serta pasar awam di seluruh negara.

Peruntukan itu merangkumi RM30 juta bagi menaik taraf medan selera dan RM30 juta lagi untuk pasar awam.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!