21 PPA ditutup jam 2 petang ini

Petugas SPR melakukan kerja-kerja sanitasi di pusat mengundi pada hari mengundi awal Pilihan Raya Negeri Melaka 2021 ketika tinjauan di Kem Bukit Beruang hari ini. -Foto Bernama
Petugas SPR melakukan kerja-kerja sanitasi di pusat mengundi pada hari mengundi awal Pilihan Raya Negeri Melaka 2021 ketika tinjauan di Kem Bukit Beruang hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Sebanyak 21 daripada 31 Pusat Pengundian Awal (PPA) ditutup pada jam 2 petang ini.

Menurut jurucakap Suruhanjaya Plihan Raya (SPR), 21 pusat itu telah digazetkan untuk ditutup pada jam 2 petang, dan menurutnya, setakat jam 1 tengah hari tadi, 56 peratus pengundi awal telah mengundi.

Senarai PPA yang ditutup pada jam 2 petang itu melibatkan 20 Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk Bilik Taklimat Balai Polis Kuala Sungai Baru di DUN Kuala Linggi; Bilik Taklimat Balai Polis Lubok China di DUN Ayer Limau; Bilik Maklumat Balai Polis Masjid Tanah di DUN Lendu dan Bilik Taklimat Balai Polis Simpang Empat di DUN Taboh Naning.

Selain itu, Bilik Taklimat Balai Polis Trafik Alor Gajah di DUN Rembia; Ruang Rehat Balai Polis Gadek di DUN Gadek; Bilik Penerangan Balai Polis Durian Tunggal dan Bilik Pusat Latih PALAPES UTEM di DUN Durian Tunggal; Bilik Mesyuarat Balai Polis Selandar di DUN Asahan dan Bilik Taklimat Balai Polis Sungai Udang di DUN Sungai Udang.

Turut ditutup pada jam 2 petang ialah Bilik Taklimat Balai Polis Tanjung Kling di DUN Pantai Kundor; Bilik Taklimat Balai Polis Tanjung Minyak di DUN Paya Rumput; Bilik Taklimat Balai Polis Batang Tiga di DUN Kelebang; Bilik Taklimat Balai Polis Bukit Baru di DUN Bukit Katil dan Bilik Gerakan Balai Polis Tiang Dua di DUN Ayer Molek.

Enam lagi PPA yang ditutup pada jam 2 petang ialah Bilik Bertemu Pelanggan Balai Polis Malim Jaya di DUN Kesidang; Bilik Mesyuarat Balai Polis Tengkera di DUN Kota Laksamana; Bilik Gerakan Balai Polis Kandang di DUN Telok Mas; Bilik Taklimat Balai Polis Merlimau di DUN RIM; Bilik Penerangan Balai Polis Merlimau di DUN Merlimau dan Dewan Serbaguna Balai Polis Sungai Rambai di DUN Sungai Rambai.

Sementara itu, proses pengundian awal di semua 21 PPA yang mula dibuka jam 8 pagi tadi berjalan lancar.

Proses pengundian awal pagi ini menyaksikan penekanan diberikan terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP), selaras dengan Garis Panduan Pencegahan Covid-19 di bawah Pelan Pemulihan Negara, kerana situasi pandemik yang masih belum terkawal sepenuhnya.

Artikel Berkaitan:

Penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka, penggunaan pensanitasi tangan, saringan suhu badan dan langkah merekodkan kehadiran dilaksanakan di pusat-pusat pengundian selain mereka yang hadir perlu mengimbas kod respons pantas (QR) MySejahtera sebelum masuk ke PPA. - Bernama