KPPK proaktif tangani isu industri sarung tangan: Zuraida

KPPK mengambil pendekatan proaktif bagi menangani perkara pematuhan sosial melibatkan isu-isu negatif berkaitan tenaga kerja dalam industri sarung tangan Malaysia. -Gambar hiasan
KPPK mengambil pendekatan proaktif bagi menangani perkara pematuhan sosial melibatkan isu-isu negatif berkaitan tenaga kerja dalam industri sarung tangan Malaysia. -Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) mengambil pendekatan proaktif bagi menangani perkara pematuhan sosial melibatkan isu-isu negatif berkaitan tenaga kerja dalam industri sarung tangan Malaysia.

Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, dari segi Piagam Hak Pekerja, usaha-usaha telah pun diambil bagi mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan Dan Kemudahan Pekerja 1990 yang melibatkan standard minimum perumahan dan penginapan untuk para pekerja.

Beliau berkata, kementerian juga berharap untuk terbabit dalam sesi libat urus dengan pihak berkuasa antarabangsa yang relevan bagi menangani tuduhan-tuduhan membabitkan khidmat pekerja asing.

“Kita berharap ini akan turut menggalakkan kalangan penggiat industri untuk menjaga pekerja masing-masing mengikut ketetapan amalan industri relevan dan mewujudkan persekitaran kerja yang sihat,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Kenyataan dikeluarkan oleh Majlis Getah Malaysia itu adalah susulan daripada perbincangan pada Isnin yang diketuai oleh Zuraida berkaitan perkembangan terbaharu serta cabaran dalam industri getah yang turut disertai oleh Lembaga Getah Malaysia dan Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia.

Perkara lain turut dibincangkan termasuk isu kekurangan pekerja yang menyaksikan kekangan kapasiti pengeluaran sejak 2019 dan menyebabkan kerugian dianggarkan melebihi RM30 bilion.

Dalam pada itu, KPPK juga sedang meneliti usaha bagi meningkatkan pengurusan pelupusan sisa bagi penghasilan produk-produk baharu daripada bahan-bahan kitar semula. - Bernama

Artikel Berkaitan: