Penambahbaikan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat dibentang Disember ini

Wan Junaidi - Foto Bernama
Wan Junaidi - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hasil kajian dan parameter bagi cadangan penambahbaikan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) dijadual dibentangkan kepada jemaah menteri pada Disember ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, satu jawatankuasa kerja telah ditubuhkan bagi menilai, mengkaji serta menetapkan parameter berdasarkan cadangan pindaan dan penambahbaikan Akta 711 yang diterima daripada pelbagai pihak berkepentingan.

Jelasnya, terdapat tujuh isu yang berkaitan akta itu telah dikenal pasti untuk diberi keutamaan dalam proses penambahbaikan akta tersebut, antaranya definisi ‘kelakuan tidak wajar’ di bawah Seksyen 2 Akta 711 adalah terlalu luas dan tidak jelas.

Selain itu, Akta 711 tidak mengiktiraf mekanisme aduan dalaman yang diwujudkan dalam sesebuah organisasi ‘bukan agensi penguat kuasa’ untuk diterima sebagai saluran pendedahan kelakuan tidak wajar yang sah dan tiada pengurusan secara berpusat yang bertanggungjawab dalam memberi perlindungan kepada pemberi maklumat di Malaysia.

“Akta 711 telah digubal bertujuan untuk memerangi rasuah dan salah laku lain dengan menggalakkan dan memudahkan pemberi maklumat membuat pendedahan kelakuan tidak wajar, melindungi orang yang membuat pendedahan daripada tindakan yang memudaratkan dan memastikan supaya pendedahan tersebut disiasat dan diuruskan dengan sewajarnya.

“Ia juga selaras dengan inisiatif yang diterajui oleh kerajaan dengan menandatangani Konvensyen Menentang Rasuah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCAC) pada 20 September 2008 di mana state party mempunyai komitmen untuk mengadakan undang- undang bagi memberi perlindungan kepada pemberi maklumat dan tindakan sewajarnya supaya pendedahan tersebut disalurkan kepada pihak berkuasa (Artikel 33 dan 37 UNCAC).

“Kerajaan amat mengalu-alukan sebarang cadangan dan maklum balas daripada pelbagai pihak berhubung Akta 711.

“Ini bagi memastikan cadangan pindaan Akta 711 ini dapat menambah baik pelaksanaan perlindungan pemberi maklumat dan seterusnya mengekang kes salah laku dan rasuah terutamanya bagi kes-kes berprofil tinggi,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Wan Junaidi menambah, sehingga kini tujuh agensi penguat kuasa telah mengguna pakai Akta 711 ini iaitu Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

“Berdasarkan statistik yang dikemukakan dari tahun 2011-2021 jumlah aduan yang diterima oleh agensi penguat kuasa adalah tinggi iaitu seramai 73,545.

“Namun demikian jumlah pemberi maklumat adalah seramai 527 orang sahaja. Ini menunjukkan terdapat kekurangan sama ada dalam pelaksanaan akta tersebut atau dalam peruntukan-peruntukan akta itu sendiri,” katanya.