Kejohanan hoki dalam dewan akan berlangsung bulan depan

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SELEPAS beberapa kali penganjuran Liga Hoki Dalam Dewan Malaysia (MIHL) ditunda susulan kekangan dihadapi termasuk akibat Covid-19, Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) akhirnya mengesahkan kejohanan itu akan berlangsung dari 10 hingga 19 Disember ini.

Kejohanan sulung yang akan diadakan secara karnival di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjong Malim, Perak itu menyaksikan sembilan pasukan lelaki dan enam pasukan wanita akan mengambil bahagian dalam saingan yang mengikut format liga satu kumpulan.

Pengerusi Jawatankuasa Hoki Dalam Dewan KHM, Shurizan Mansor menyifatkan MIHL merupakan platform pemilihan pemain yang berpeluang menyarung jersi pasukan kebangsaan bagi Piala Asia Hoki Dalam Dewan yang dijadualkan berlangsung di Thailand pada Mac tahun depan.

“Saya berharap dengan tempoh sebulan yang tinggal menjelang kejohanan, pasukan yang sudah mengesahkan penyertaan dapat melakukan persiapan dengan sebaiknya bagi memastikan saingan hebat dapat diberikan dalam kejohanan ini,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan KHM pada Isnin.

Dalam pada itu, Shurizan memberi jaminan MIHL akan dianjurkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kesihatan, Kementerian Belia dan Sukan serta UPSI bagi memastikan kejohanan berlangsung dengan selamat.

Sementara itu, beliau memaklumkan pihaknya juga merancang menganjurkan MIHL secara tahunan dalam usaha menarik minat lebih ramai orang untuk menceburi sukan berkenaan.

Shurizan juga berharap penganjuran kejohanan sulung itu akan menjadi titik permulaan bagi menarik minat penaja untuk menjadi rakan penaja pada masa depan. - Bernama

Artikel Berkaitan: