Muhammad Jailani tawar enam teras manifesto untuk DUN Rembia

Muhammad Jailani bergambar bersama risalah laporan pencapaiannya 2018-2021di Alor Gajah, Melaka pada Isnin.
Muhammad Jailani bergambar bersama risalah laporan pencapaiannya 2018-2021di Alor Gajah, Melaka pada Isnin.
A
A
A

MELAKA - Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis menawarkan enam teras manifesto dalam perjuangannya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Beliau berkata, enam teras tersebut merangkumi pendidikan, keagamaan, kebajikan, ekonomi, anak muda, belia dan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) serta perumahan kos rendah untuk rakyat.

Menurutnya, beliau bakal melaksanakan pelbagai perancangan sebagai inisiatif pembangunan ekonomi bagi membanteras kemiskinan berikutan ia merupakan antara masalah utama yang membelenggu penduduk di sini.

"Soal kemiskinan bukan hanya dipelopori oleh bangsa Melayu dan India sahaja, malah melanda hampir semua aspek masyarakat dalam DUN ini.

Muhammad Jailani
Muhammad Jailani

"Insya-ALLAH sekiranya diberi mandat, matlamat pembangunan ekonomi akan dilaksanakan susulan ramai penduduk yang hilang pekerjaan.

Artikel Berkaitan:

"Kita juga tidak mahu anak-anak Rembia keluar dari sini untuk cari pekerjaan. Kalau boleh kita wujudkan penjanaan ekonomi dalam DUN ini sendiri supaya mereka dapat berbelanja dan mencurah kembali dalam sektor ekonomi di sini," katanya ketika membentangkan laporan pencapaian beliau bagi tahun 2018 hingga 2021 di Alor Gajah, Melaka pada Isnin.

Mengulas lanjut mengenai pecutan terakhir sepanjang tempoh berkempen, Muhammad Jailani berkata, berikutan sekatan prosedur operasi standard (SOP), beliau menganggarkan sebanyak 20 peratus sahaja perkembangan kempen yang dapat dilaksanakan.

"Memang terhad nak berjumpa dengan pengundi. Paling tidak pun mungkin berjumpa secara kebetulan ketika bersarapan sebab kalau nak berinteraksi dengan berceramah pun tidak boleh.

"Jadi, antara lainnya kita cetak laporan pencapaian dan hantar dalam kotak pos dari rumah ke rumah," jelasnya.