X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 17 Januari 2022

Lelaki curi wang di kaunter kedai aksesori telefon bimbit dicari

Rakaman CCTV menunjukkan seorang lelaki (kiri) disyaki terbabit dalam kes curi wang di kaunter pembayaran sebuah kedai aksesori telefon bimbit di Puncak Alam di sini pada Sabtu.
A
A

KUALA SELANGOR - Polis sedang mengesan seorang lelaki yang disyaki terbabit dalam kes curi wang di kaunter pembayaran sebuah kedai aksesori telefon bimbit di Puncak Alam di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, perbuatan suspek yang berusia lingkungan 40-an itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di premis tersebut.

Menurutnya, kejadian itu berlaku pada jam 7.15 malam ketika mangsa yang bekerja sebagai jurujual di kedai terbabit didatangi suspek yang memperkenalkan diri sebagai juruteknik bahagian sistem komputer.

"Suspek telah mengarahkan mangsa mencetak penyata akaun syarikat untuk menyemak duit hasil jualan selain menyuruh mangsa mengira wang yang ada di kaunter di hadapan suspek," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Ramli berkata, setelah selesai mengira duit tersebut mangsa kemudian meletakkan duit RM750 yang dikira di tepi meja kaunter.

"Suspek menyuruh mangsa tandatangan beberapa keping resit dan pada masa yang sama suspek pura-pura sibuk di hadapan mangsa hingga tidak menyedari apa yang telah berlaku seolah-olah dipukau dengan tindakan suspek.

"Setelah selesai urusan, suspek menyuruh mangsa menyimpan resit-resit yang ada dan mengarahkan mangsa membuat penutupan akaun seperi biasa," katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati suspek masuk ke dalam premis melalui laluan utama dan telah berjumpa mangsa di kaunter pembayaran yang berada di dalam premis tersebut.

Jelas beliau, rakaman CCTV mendapati, mangsa mengeluarkan wang daripada mesin kaunter pembayaran dan meletakkan di tepi mesin tersebut, kemudian suspek mengambil duit tersebut dan mengira duit di hadapan mangsa sebelum memasukkan duit ke dalam poket seluar milik suspek," jelasnya.

Justeru, katanya, orang ramai yang mengenali suspek yang dirakam wajahnya menerusi CCTV diminta menghubungi mana-mana balai polis terdekat untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!