Abu Hashim mahu naik taraf Taboh Naning

Abu Hashim turut menjadikan kedai makan sebagai lokasi bagi mendekati pengundi.
Abu Hashim turut menjadikan kedai makan sebagai lokasi bagi mendekati pengundi.
A
A
A

Namanya kurang menonjol berbanding calon lain, namun tetap menjadi tumpuan apabila bersaing dengan bekas kepada anak Ketua Menteri Melaka dari Barisan Nasional (BN), Zulikfli Md Zin.

Kerusi DUN Taboh Naning yang menyaksikan pertembungan tiga penjuru termasuk calon Pakatan Harapan (PH), memperlihatkan suasana tenang namun masing-masing sedang memasang strategi menyelami hati pengundi.

Pengarah Pas Dewan Undangan Negeri (DUN), Abu Hashim Abdul Samad juga tidak mahu ketinggalan bersaing secara sihat dalam norma baharu selagi wisel penamat kempen belum berbunyi.

Biarpun sebagai muka baharu di kerusi itu namun dengan kekuatan jentera yang ada beliau akan bekerja keras dan masalah capaian internet di kebanyakan kawasan bukan penghalang untuknya bersaing bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Calon Perikatan Nasional (PN) bagi DUN Taboh Naning ini mahu memberi perhatian dan membangunkan sektor pelancongan luar bandar di kawasan itu.

Ikuti temubual Wartawan Sinar Harian, Nor Farhana Yaacob bersama Abu Hashim yang mesra dengan panggilan 'Cikgu Hashim'.

SINAR HARIAN: Cikgu Hashim dilihat mahu menjadikan DUN Taboh Naning ini sebagai salah satu destinasi ekopelancongan luar bandar. Bagaimana?

ABU HASHIM: Ini bukanlah mustahil untuk dilakukan kerana DUN ini antara pintu utama pelancong masuk ke Melaka melalui Plaza Tol Alor Gajah. Saya yakin dan percaya Taboh Naning mempunyai keunikan tersendiri dan mampu menjadi destinasi pelancongan menarik sekali gus memberi limpahan rezeki serta ekonomi kepada penduduk setempat. Dari segi landskap ia perlu diperindahkan dan ditambah baik. Saya juga bercadang supaya pelaksanaan pelancongan itu dapat dipromosikan menerusi tawaran pakej berpatutan seperti rumah inap desa atau 'homestay' di luar bandar. Sekurang-kurangnya Taboh Naning dapat menarik pelancong merasai suasana tenang dan jauh daripada hiruk-pikuk bandar.

Artikel Berkaitan:

Adakah perancangan lain mahu dibangunkan di DUN ini?

Banyak sebenarnya yang boleh dilakukan termasuk menawarkan beberapa produk pelancongan masyarakat setempat dan memperbanyakan lagi premis atau kedai makan sserta menjadikannya lebih tersusun terutama yang berdakatan dengan plaza tol. Langkah ini sekali gus dapat menyediakan ruang dan peluang perniagaan kepada rakyat bagi meningkatkan pendapatan penduduk lebih-lebih lagi selepas pandemik Covid-19 ini. Saya percaya Taboh Naning mempunyai potensi ini.

Apa `sifir” yang akan cikgu gunakan dalam pertandingan tiga penjuru untuk menawan hati pengundi?

Insya-ALLAH saya akan menggunakan pengalaman kerjaya saya dalam bidang pendidikan dan penglibatan dalam kerja-kerja kemasyarakatan seperti pengerusi masjid untuk terus berbakti kepada rakyat. Saya menerima respons daripada pengundi yang pada awalnya memberi bayangan takut untuk keluar mengundi dan kurang berminat. Namun, setelah diberikan penjelasan mereka mula faham dan rakyat kembali memberikan respons positif. Melalui pertemuan ketika minum di kedai-kedai makan, di pasar atau ketika berjemaah di masjid, saya gunakan peluang tersebut untuk memperkenalkan diri kepada masyarakat. Saya bersedia dan akan lakukan yang terbaik sekiranya diberi mandat sebagai wakil rakyat.

Cara Abu Hashim mengambil peluang beramah mesra dengan para pengundi di DUN Taboh Naning.
Cara Abu Hashim mengambil peluang beramah mesra dengan para pengundi di DUN Taboh Naning.

Dalam persaingan ini Cikgu Hashim dilihat lebih veteran berbanding calon lain. Adakah ini satu halangan?

Saya anggap ini persaingan positif dan kami hanya 'berperang' dalam tempoh berkempen sahaja, selepas itu kami tetap berkawan. Malah saya juga bersaudara dengan calon Barisan Nasional (BN), Zulkiflee Mohd Zin. Kami turut berada di tempat sama ketika turun padang solat jemaah di masjid yang sama. Bagi saya, umur bukan halangan malah setiap calon mempunyai kelebihan tersendiri. Tidak perlu berbalah tetapi menghormati antara satu sama lain.

Bagi memastikan tiada penularan Covid-19 sepanjang berkempen apakah langkah yang diambil?

Kami mempunyai unit Amal Pas yang membantu dan memantau kelancaran jentera parti. Mereka akan pastikan segala arahan dipatuhi termasuk mewajibkan setiap individu yang datang ke bilik gerakan menulis nama selain menggunakan aplikasi MySejahtera. Saya memilih lokasi bilik gerakan di tempat terbuka bagi pengudaraan yang kondusif, malah pihak polis juga membantu memastikan kami mengikuti SOP. DUN Taboh Naning merupakan DUN angkat negeri Kedah, jadi kami juga mempunyai ahli jentera dari sana yang turut membantu.

No Image Caption

PROFIL

Nama: Abu Hashim Abdul Samad

Umur: 61 tahun

Asal: Kg Padang Melekek, Melaka

Pendidikan:

- Ijazah Sains dengan Pendidikan UTM

- Diploma Sains dengan Pendidikan UPM

Jawatan Dalam Politik:

- Pengarah Pilihan Raya Pas DUN Taboh Naning

- Bendahari Pas Masjid Tanah

Jawatan:

- Pengerusi Koperasi Kariah Masjid Al Muhsinin Melekek Luar Alor Gajah Melaka Berhad (KOPMUHSININ).

- Leftenan Kolonel Rejimen Askar Wataniah Melaka.

- Timbalan Pengerusi Briged Bakti Malaysia Melaka.