Pasukan khas semak kes Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan

Wan Junaidi Tuanku Jaafar. - Foto Bernama
Wan Junaidi Tuanku Jaafar. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Jemaah Menteri pada 29 Oktober lepas telah bersetuju untuk menubuhkan sebuah pasukan petugas khas bagi menyemak semula tindakan dan isu perundangan berkenaan kes Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pasukan yang akan diketuai bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali itu, turut akan mengesyorkan opsyen terbaik mengenai hala tuju kerajaan berhubung kes berkenaan.

“Keputusan ini adalah susulan komitmen kerajaan untuk melaksanakan semakan semula undang-undang berkenaan kes Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan, selepas keputusan semakan dan tafsiran kes tersebut tidak diteruskan kerajaan pada 17 Mei 2018, dengan mengambil kira kepentingan negara dan implikasi kos,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 9 Oktober lepas mengumumkan penubuhan pasukan petugas khas bagi membuat kajian menyeluruh, meneliti dan mencadangkan opsyen bersesuaian, dengan mendapatkan pandangan pakar undang-undang antarabangsa bagi membuat semakan semula undang-undang berkenaan kes Pedra Branca atau Pulau Batu Puteh.

Menurut Wan Junaidi, memorandum Jemaah Menteri berhubung penubuhan pasukan petugas khas ini termasuk terma rujukan, keanggotaan dan implikasi kewangan, akan dibentangkan untuk pertimbangan dan kelulusan Jemaah Menteri dalam masa terdekat.

Wan Junaidi berkata, pasukan berkenaan akan mengemukakan dapatan dan syor kepada Mesyuarat Jemaah Menteri dalam tempoh enam bulan, sebagaimana keputusan Jemaah Menteri pada 29 Oktober lepas.

Pada 3 Februari 2017, kerajaan Malaysia telah memfailkan permohonan bagi semakan terhadap keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 23 Mei 2008, yang memutuskan bahawa Singapura mempunyai hak kedaulatan terhadap Pulau Batu Puteh, manakala Malaysia mempunyai hak kedaulatan terhadap Terumbu Karang Tengah.

Malaysia memfailkan permohonan semakan itu bersandarkan tiga dokumen yang baru didedahkan oleh United Kingdom.

Artikel Berkaitan:

Dokumen terbabit merupakan surat-menyurat dalaman pihak berkuasa tanah jajahan Singapura pada 1958, laporan insiden yang difailkan pada 1958 oleh pegawai tentera laut British dan peta berserta catatan mengenai operasi tentera laut dari tahun-tahun 1960-an.

Pada 16 Februari 2017, Mohamed Apandi yang merupakan Peguam Negara ketika itu berkata, beliau akan mengetuai pasukan pakar yang mengendalikan semakan itu di ICJ, di Hague, Belanda.

Bagaimanapun pada 2018, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menarik balik permohonan semakan tersebut, sebelum kes itu dijadualkan didengar pada 11 Jun 2018 di ICJ.

Pada 28 Mei lepas, seorang individu Mohd Hatta Sanuri, 45, memfailkan saman di Mahkamah Tinggi terhadap Perdana Menteri dan kerajaan Malaysia bagi menuntut penjelasan bertulis berhubung penarikan balik permohonan semakan itu.

Menurut Wan Junaidi, selain Mohamed Apandi, pasukan itu antaranya turut akan terdiri daripada dua peguam tempatan yang mengendalikan kes ini dari 2016 hingga 2017 iaitu Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin dan Datuk Abu Bakar As-Sidek Mohd Sidek, serta wakil-wakil dari Kementerian Luar Negeri, Jabatan Peguam Negara, Jabatan Ukur dan Pemetaan dan kerajaan negeri Johor.

“Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Peguam Negara dan Kementerian Luar Negeri, akan bertindak sebagai urus setia untuk pasukan petugas khas ini,” katanya. - Bernama