Waris pulang ke kampung punca Covid-19 meningkat

Gambar kecil: Dr Nor Azimi
Gambar kecil: Dr Nor Azimi
A
A
A

KUANTAN - Ahli keluarga yang pulang ke kampung halaman membawa 'buah tangan' Covid-19 antara punca berlaku peningkatan kes jangkitan wabak itu di negeri ini terutama di daerah Pekan.

Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, peningkatan kes di Pekan disumbangkan kes dari Felda Chini.

Menurutnya, sebanyak 62 kes positif daripada 25 keluarga dikesan di Felda Chini 1 hingga Felda Chini 3.

“Hasil siasatan mendapati jangkitan berpunca daripada waris ahli keluarga positif yang pulang ke kampung.

“Penularan wabak itu susulan berlaku perhimpunan keluarga seperti kenduri dan majlis sosial yang lain selain kurangnya pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan mereka,” katanya melalui satu kenyataan di Facebook.

Dr Nor Azimi berkata, orang ramai diingatkan agar memastikan mereka bebas jangkitan sebelum melakukan rentas negeri atau ke mana-mana.

"Kita tahu semasa berhimpun bersama keluarga pematuhan SOP hampir tiada.

"Mana ada yang memakai pelitup muka ketika bersama keluarga sesama keluarga apa lagi jika ada majlis makan-makan dan sebagainya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, kaedah dan asas terbaik jangan 'perkenalkan' virus Covid- 19 dengan memastikan setiap individu bebas daripada virus itu sebelum berhimpun bersama keluarga.

"Melalui cara ini, kluster dalam kalangan keluarga boleh dielakkan.

"Perkataan SOP mungkin sesuatu yang sangat tidak digemari namun pematuhan seadanya adalah kawalan terbaik buat masa ini selain pengambilan vaksin," katanya.

Tambah beliau, sebaiknya buat ujian saringan kendiri sebelum pulang ke Kampung atau selepas pulang dari tempat percutian kerana langkah itu sangat berkesan untuk mencegah penularan sekiranya individu terlibat disahkan positif.