Feri bawa 312 penumpang terkandas di perairan Kuala Perlis

Feri tersebut ditunda ke Terminal Feri Kuala Perlis dengan bantuan bot nelayan. - Foto ihsan Ferry Line Ventures
Feri tersebut ditunda ke Terminal Feri Kuala Perlis dengan bantuan bot nelayan. - Foto ihsan Ferry Line Ventures
A
A
A

KUALA PERLIS - [DIKEMAS KINI] Sekumpulan wartawan antara 312 penumpang dari Terminal Feri Penumpang Kuah, Langkawi yang terkandas selama dua jam di perairan Kuala Perlis selepas propeller atau kipas feri tersangkut tali pukat nelayan.

Seorang wartawan, Norlida Akmar Idros, 38, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 9 malam ketika feri berada tidak jauh dari Terminal Feri Kuala Perlis.

Katanya, dia bersama beberapa rakan wartawan yang lain dalam perjalanan pulang dari Majlis Perasmian Kempen Beli Barangan Malaysia peringkat kebangsaan di Dataran Chenang, Langkawi pada petang Sabtu.

"Feri yang kami naiki berlepas dari Terminal Feri Penumpang Kuah pada jam 8 malam dan dijadualkan tiba di Terminal Feri Kuala Perlis pada jam 9 malam.

"Setelah sejam perjalanan tiba-tiba saya rasa feri seakan- akan berhenti, tidak lama kemudian pihak feri membuat pengumuman berkenaan masalah yang berlaku," katanya ketika dihubungi di sini pada Ahad.

Menurutnya, walau bagaimanapun keadaan penumpang dalam feri masih terkawal selain pendingin hawa masih beroperasi seperti biasa.

"Sekitar jam 12. 30 malam feri yang kami naiki menghampiri terminal dan kami dibenarkan turun dengan selamat.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat menyelesaikan masalah ini. Walaupun kami lambat tiba di terminal tetapi saya bersyukur kerana tiada kejadian tidak diingini berlaku," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengurus Sumber Manusia dan Operasi Konsortium Ferry Line Ventures Sdn. Bhd, Kapten Baharin Baharom berkata, pihaknya mendapatkan bantuan bot nelayan untuk menunda feri masuk ke terminal.

" Konsortium juga memohon bantuan daripada penyelam daripada pasukan bomba bagi memotong pukat yang tersangkut pada propeller feri.

" Saya ingin menasihati nelayan supaya tidak memasang pukat di laluan feri kerana ia amat membahayakan keselamatan penumpang apabila kejadian seperti ini berlaku," katanya.