Dr Annuar Rapaee tepati janji kepada belia Sibu

Dr Annuar semasa prapelancaran Sibu Active Youth Space (SAYS) pada malam Jumaat. - Foto FB Dr Annuar Rapaee
Dr Annuar semasa prapelancaran Sibu Active Youth Space (SAYS) pada malam Jumaat. - Foto FB Dr Annuar Rapaee
A
A
A

SIBU - Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Dr Annuar Rapaee telah menunaikan janji yang dibuatnya tiga tahun lepas untuk menyediakan ruang bagi aktiviti sukan dan rekreasi kepada belia di Sibu melalui prapelancaran Sibu Active Youth Space (SAYS).

Taman pelbagai guna bernilai RM2.5 juta di Dataran Tuanku Haji Bujang Fasa II meliputi Skateplaza berkeluasan lima meter lebar dan 100 meter panjang yang boleh dimanfaatkan oleh peminat sukan ekstrem papan selaju, rollerblade dan BMX.

Kemudahan yang dibiayai kerajaan negeri dan direka bentuk melalui penglibatan belia tempatan ini merupakan kemudahan terpanjang seumpamanya di Sarawak dan boleh digunakan untuk menganjurkan kejohanan antarabangsa.

“Ia sememangnya menjadi impian saya untuk merealisasikan perkara ini kerana saya kesian melihat remaja yang terpaksa bermain di tepi jalan atau tempat lain yang jelas tidak sesuai atau selamat untuk mereka.

“Jadi, saya rasa remaja Sibu akan berasa gembira dengan kemudahan ini dan semestinya berbangga dengan diri mereka kerana memiliki kemudahan yang serba lengkap ini,” kata Dr Annuar ketika ditemui selepas prapelancaran dewan itu di sini malam Jumaat.

Kemudahan Wi-fi di tempat ini akan dipasang dalam tempoh sebulan untuk memenuhi keperluan peminat e-gamer sementara kemudahan lain seperti parkur, kalistenik, dinding panjat dan ruang teater terbuka akan dibina di bawah Fasa Kedua projek pada masa hadapan.

Sebuah kafeteria juga akan disediakan di situ.

Annuar juga telah memperuntukkan RM50,000 untuk menganjurkan kejohanan antarabangsa di taman itu pada Januari.

Artikel Berkaitan:

“Saya berhasrat menjadikan kejohanan itu sebagai acara tahunan dan memasukkannya dalam kalendar pelancongan negeri,” kata Dr Annuar yang juga Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Pada masa ini, kemasukan ke taman ini adalah percuma tetapi sedikit bayaran akan dikenakan pada masa hadapan untuk membiayai penyelenggaraan dan menyediakan perkhidmatan keselamatan di tempat itu. - Bernama