X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 26 Jun 2022

Hanya atlet program MSN dibenar guna kemudahan venue latihan

Hanya atlet di bawah program Majlis Sukan Negara (MSN) dibenarkan menikmati kemudahan venue latihan di MSN dan bukannya terbuka kepada atlet lain.
A
A

HANYA atlet yang berada di bawah program Majlis Sukan Negara (MSN) dibenarkan menikmati kemudahan venue latihan di MSN dan bukannya terbuka kepada atlet lain.

Pengarah Bahagian Paralimpik MSN, Mohd Sofian Hamzah menegaskan atlet di bawah kendalian MSN juga perlu mengikut ketetapan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan menjalani ujian calitan dan kuarantin sebelum memulakan latihan di sana sebagai usaha mengekang penularan kes Covid-19 dalam negara ketika ini.

Beliau berkata demikian susulan laporan media Ketua Pasukan Olahraga Para ke Sukan Para Remaja Asia (AYPG) 2021, Adnan Mat Ail mengenai atlet di bawah kendaliannya dilarang berlatih di kemudahan Kompleks Sukan MSN di sini, baru-baru ini.

“Isu ditimbulkan Adnan agak mengelirukan kerana atlet yang didakwanya tiada tempat latihan itu sebenarnya adalah atlet berpangkalan di Perak dan baru dua bulan sahaja berlatih di bawah kendalian beliau.

“Berdasarkan sesi penilaian prestasi dilakukan, catatan jarak lompatan atlet berkenaan dalam dua sesi pemilihan terakhir jauh tertinggal daripada keputusan lima terbaik acara lompat jauh T-46 pada temasya (AYPG) empat tahun lepas itu,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mohd Sofian pada masa sama percaya Adnan, selaku jurulatih pembangunan untuk mencungkil bakat atlet olahraga para di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya, sudah semestinya sedia maklum berhubung maklumat latihan atlet di MSN sebelum ini.

Mengenai jumlah atlet terpilih ke temasya AYPG, Mohd Sofian memaklumkan MSN dan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) bersetuju senarai awal atlet olahraga yang dikemukakan masih perlu menjalani ujian penilaian prestasi sebelum disahkan untuk berada dalam kontinjen.

Bagaimanapun, beliau berkata, atlet telah diminta untuk terus menjalani latihan di pusat latihan di negeri masing-masing dan penilaian prestasi akan dikendalikan oleh jurulatih di pusat latihan mereka.

AYPG 2021 dijadual berlangsung dari 2 hingga 6 Disember di Manama, Bahrain. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!