Pelan Induk Wakaf Nasional perkasa pengurusan wakaf Malaysia

Ismail Sabri (depan, kiri) menyerahkan Sijil Keahlian Waqaf Felda kepada Pengarah Besar Felda, Datuk Amiruddin Abdul Satar (depan, kanan) selepas melancarkan Waqaf Felda di Menara Felda hari ini. - Foto Bernama
Ismail Sabri (depan, kiri) menyerahkan Sijil Keahlian Waqaf Felda kepada Pengarah Besar Felda, Datuk Amiruddin Abdul Satar (depan, kanan) selepas melancarkan Waqaf Felda di Menara Felda hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan sedang menyediakan Pelan Induk Wakaf Nasional iaitu sebuah pelan holistik untuk memperkasakan pengurusan wakaf di Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dalam menggembleng pendekatan 'whole-of-nation', institusi wakaf perlu bersama-sama memainkan peranan melonjakkan sosioekonomi komuniti, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Menurutnya, konsep wakaf mampu melonjakkan ekonomi masyarakat dan negara, disebabkan itu kerajaan akan terus mengangkat wakaf sebagai agenda nasional.

"Justeru, wakaf telah dijadikan sebahagian kerangka Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12). Fokus Kelima dan Fokus Keenam RMK12 menggariskan peranan kritikal yang perlu dimainkan oleh institusi wakaf dalam membantu Keluarga Malaysia keluar dari kepompong kemiskinan.

"Ia selaras dengan usaha untuk mempelbagaikan sumber kewangan bagi membiayai perniagaan dan meningkatkan ekuiti bumiputera.

"Menerusi Bajet 2022 juga, kerajaan memperuntukkan dana permulaan sebanyak RM10 juta bagi memulakan inisiatif Wakaf Halal Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), Wakaf Pertanian dan Wakaf Bencana," katanya ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran Waqaf Felda di Menara Felda di sini pada Jumaat.

Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad; Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh dan Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Dr Mohd Daud Bakar.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, pelancaran Waqaf Felda menjadi bukti peranan penting Felda yang sentiasa ke hadapan dalam menyokong dan menjadi tunjang penting pembangunan ekonomi negara.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, peranan itu bersandarkan kekuatan semangat warga peneroka sejak 65 tahun lalu apabila yang jauh datang merantau meninggalkan kampung halaman ke kawasan Felda di pedalaman demi mengubah kehidupan keluarga masing-masing.

"Alhamdulillah, kini berkat kesabaran itu, taraf sosioekonomi warga Felda telah berjaya melonjak. Kejayaan ini jugalah yang membawa kepada tercetusnya aspirasi Datuk Seri Idris Jusoh untuk menubuhkan Waqaf Felda.

"Iltizam ini boleh dicapai melalui Waqaf Felda yang bakal dilaksanakan nanti dengan menggunakan konsep wakaf korporat," jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, objektif penubuhan Waqaf Felda adalah menyokong pembentukan model perniagaan baharu, menyemai benih keberkatan, menyuburkan kebajikan dan sumbangan kepada komuniti serta mengukuhkan kelestarian Felda.

"Waqaf Felda akan melaburkan semula sebahagian keuntungan pelaburan awal yang disumbangkan oleh Felda sendiri dan agensi seperti FGV Holdings Berhad, Koperasi Permodalan Felda dan MSM Holdings Berhad dan beberapa agensi lain berkaitan Felda.

"Ia bagi membolehkan Waqaf Felda ini dapat bergerak lebih mampan, sekali gus mampu memberi manfaat kepada lebih ramai warga Keluarga Malaysia yang memerlukan.

"Sebanyak 30 peratus keuntungan yang diperoleh Waqaf Felda ini akan diperuntukkan kepada kebajikan, lima peratus akan disalurkan kepada MAIWP, manakala selebihnya akan dilaburkan semula," jelas beliau.

Perdana Menteri turut meletakkan harapan untuk Felda mengambil peluang bagi mempelopori Revolusi Industri 4.0 atau masyarakat 5.0 dalam pelaksanaan wakaf, seterusnya mengangkat Felda sebagai peneraju ekonomi luar bandar.