AMK Perak suruh Ahmad Faizal cermin diri

Muhamad Alif Asyraf
Muhamad Alif Asyraf
A
A
A

IPOH - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perak mengingatkan Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu supaya 'cermin diri' sebelum mengeluarkan kenyataan negatif terhadap parti komponen Pakatan Harapan (PH) Perak.

Timbalan Ketua AMK Perak, Muhamad Alif Asyraf Abdull Rahim mendakwa, Ahmad Faizal gagal menjalankan tugasnya sebagai Menteri Besar Perak sehingga dianggap menjadi punca masalah kepada PH Perak ketika itu.

"Ketika Perak dikuasai PH, beliau masih Menteri Besar sehingga tumbangnya kerajaan negeri akibat beliau sendiri bersama rakan sekutu yang melompat.

"Lagi pelik, beliau tanpa rasa segan silu memberi sokongan menubuhkan kerajaan negeri yang dipelopori oleh Barisan Nasional (BN), sedangkan beliau dijatuhkan oleh Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau mengulas kenyataan Ahmad Faizal yang mendakwa terpaksa menguruskan pergaduhan antara DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) setiap hari ketika mentadbir kerajaan negeri Perak.

Ahmad Faizal berkata demikian ketika menyampaikan ceramah sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada Khamis.

Sementara itu, Muhamad Alif Asyraf berkata, selaku Pengerusi PH Perak, Ahmad Faizal gagal menjalankan mesyuarat PH selepas menjadi Menteri Besar.

"Dalam tempoh 22 bulan, beliau sendiri tidak berani bersemuka dengan pimpinan PH secara terbuka, malah untuk bertemu bagi membincangkan perjalanan kerajaan negeri pun sukar.

Artikel Berkaitan:

"Perkara ini turut disahkan oleh pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Tambun sendiri yang turut bersuara secara terbuka akibat kegagalan mengurus dan menyelesaikan masalah dalam negeri," dakwanya.

Muhamad Alif Asyraf berkata, jika DAP dan Amanah merunsingkan, beliau pelik kerana Ahmad Faizal pernah menyatakan kerinduan terhadap PH Perak sebelum ini.