'Suap makan, lalat masuk mulut dulu'

Ternakan ayam dengan kaedah terbuka dikesan menjadi punca masalah kacau ganggu lalat kepada penduduk di Kampung Jaya, Bagan Serai.
Ternakan ayam dengan kaedah terbuka dikesan menjadi punca masalah kacau ganggu lalat kepada penduduk di Kampung Jaya, Bagan Serai.
A
A
A

BAGAN SERAI - Kaedah ternakan ayam terbuka dan pengendalian sisa tinja yang tidak sistematik antara punca utama masalah lalat yang dihadapi hampir 1,000 penduduk di Kampung Jaya, Kampung Balik Bukit dan Taman Indah Jaya, di sini.

Masalah berlarutan sejak 30 tahun lalu itu menyebabkan penduduk berasa rimas hingga menjejaskan aktiviti harian mereka.

Penduduk, Yaakob Ishak, 75, berkata, mereka sudah tidak tahan dengan keadaan itu dan meminta ia dapat diselesaikan kerana dibimbangi akan membawa penyakit.

Menurutnya, gangguan lalat akan berlaku setiap dua bulan selepas perusahaan yang memiliki 16 reban itu menjual ayamnya dalam tempoh tersebut.

"Hendak makan pun susah kerana perlu berperang dengan lalat hinggakan hendak suap makanan pun, lalat yang masuk mulut dulu.

"Kami sudah tak sanggup dengan keadaan ini tambahan pada waktu hujan, lalat bertambah banyak," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Jumaat.

Saniah dan Yaakob (kanan) menunjukkan pelekat lalat yang digunakan sebagai salah satu kaedah mengurangkan lalat.
Saniah dan Yaakob (kanan) menunjukkan pelekat lalat yang digunakan sebagai salah satu kaedah mengurangkan lalat.

Katanya, keadaan itu menyebabkan mereka berasa malu untuk menghidangkan makanan kepada tetamu yang bertandang ke rumah.

Artikel Berkaitan:

Peniaga, Saniah Mastan, 61, berkata, kehadiran lalat telah menjejaskan operasi perniagaan warung makanan yang diusahakannya.

"Setiap kali pelanggan singgah terutama dari luar, mereka berasa geli dengan lalat yang menghurung bekas makanan. Kita sendiri berasa serba salah.

"Saya juga tebar roti canai terpaksa buat dalam kuantiti sedikit kerana lalat. Kita tebar takut terlekat lalat, sudah rugi kerana kotor. Belum lagi pelanggan yang minta tukar air selepas minuman mereka dimasuki lalat.

"Keadaan itu menyebabkan kami rugi hingga menerima teguran daripada pelanggan. Tetapi apakan daya, ini di luar kawalan," katanya.

Katanya, pengusaha perlu bertanggungjawab dalam mengendalikan operasi ternakan mereka agar tidak mengganggu penduduk.

Sementara itu, Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan, Razman Zakaria berkata, beliau tidak berpuas hati dengan operasi ternakan ayam yang terletak kira-kira 500 meter dari rumah penduduk itu.

"Tinjauan hari ini (Jumaat) mendapati pelaksanaan perusahaan ini tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan yang mana bahagian bawah reban tidak sepatutnya berair. Ini menyebabkan pembiakan lalat dan bau busuk.

"Kita mengarahkan pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) mengambil tindakan dengan tidak membenarkan perusahaan ini beroperasi selagi peraturan itu tidak dipatuhi," katanya.

Menurutnya, kompaun sebanyak RM2,000 akan dikeluarkan oleh pihak JPV kepada pengusaha terbabit.

Razman Zakaria
Razman Zakaria

Razman berkata, kerajaan negeri telah menyasarkan kesemua ladang ternakan ayam di Perak perlu beralih kepada sistem tertutup menjelang 2025.

"Jadi, semua pengusaha diberi masa untuk melaksanakan operasi ladang secara bertutup bagi mengurangkan kacau ganggu lalat.

"Malah, Enakmen Perladangan Unggas Perak 2005 dalam proses dipinda untuk mengenakan hukuman lebih tinggi sekurang-kurangnya denda RM20,000 terhadap penternak yang mencemar alam sekitar. Sekarang ini sudah di peringkat akhir," katanya.

END