X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 17 Mei 2022

337,765 pekerja sektor informal mencarum skim SKSPS

Awang
A
A

KUANTAN - Seramai 337,765 daripada 5 juta pekerja sektor informal di seluruh negara telah mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SkSPS) setakat 5 November lalu.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, daripada jumlah itu, 11,064 pencarum melibatkan pekerja informal di Pahang.

"Untuk sektor perikanan di Pahang pula, kita dapati seramai 1,244 atau 11.3 peratus pekerja sudah mencarum.

"Sehingga bulan ini (November), dua pencarum telah menerima manfaat daripada caruman itu. Ia membabitkan pembayaran pampasan bernilai RM4,416 termasuk satu kes melibatkan faedah pencen orang tanggungan yang dibayar secara berkala," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan bengkel kerja selamat dan sihat di sektor informal-perikanan zon Pantai Timur tahun 2021 bagi mengurangkan kes kemalangan di dewan orang ramai, Kampung Kempadang pada Jumaat.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Ir Zailee Dollah dan Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Yusoff Othman serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Lumpur, Rosli Abdul Jabar.

Dalam pada itu, Awang meminta orang ramai terutamanya mereka yang bekerja sendiri mengambil peluang untuk mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kerana skim SKSPS mempunyai banyak manfaat.

Awang memakaikan topi keledar kepada nelayan selepas berakhirnya bengkel kerja selamat dan sihat di sektor informal-perikanan zon Pantai Timur tahun 2021 bagi mengurangkan kes kemalangan di dewan orang ramai, Kampung Kempadang pada Jumaat.
Awang memakaikan topi keledar kepada nelayan selepas berakhirnya bengkel kerja selamat dan sihat di sektor informal-perikanan zon Pantai Timur tahun 2021 bagi mengurangkan kes kemalangan di dewan orang ramai, Kampung Kempadang pada Jumaat.

Jelasnya, skim itu tidak terhad kepada faedah perubatan semata-mata, malah ia termasuk faedah hilang keupayaan kekal; faedah hilang keupayaan sementara, faedah orang tanggungan, faedah pemulihan dan faedah pengurusan jenazah.

"Kita yakin bengkel yang diadakan khas untuk sektor informal kepada golongan nelayan dan pekerja di sektor perikanan pada hari ini (Jumaat) dapat memberi manfaat kepada mereka untuk menjadi pencarum," ujarnya.

Ditanya mengenai kes kemalangan dalam pelbagai sektor pekerjaan di seluruh negara, Awang berkata, sebanyak 679 kes kemalangan telah direkodkan sehingga September lalu.

Menurutnya, daripada jumlah itu sebanyak 11 kes merupakan kemalangan maut manakala 67 kes melibatkan keracunan dan penyakit.

"Data kemalangan pekerjaan ini adalah bagi sektor pertanian, perikanan dan perhutanan yang telah disiasat oleh JKKP," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!