Sewa motosikal elektrik, bantu pekerja sektor penghantaran

Dari kiri: Lim Yi Wei (berbaju hijau), Bryan (Putih) semasa majlis pelancaran Program Sewaan Motosikal Elektrik pada Ahad.
Dari kiri: Lim Yi Wei (berbaju hijau), Bryan (Putih) semasa majlis pelancaran Program Sewaan Motosikal Elektrik pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Angkatan Muda Keadilan (AMK) merasmikan Program Sewaan Motosikal Elektrik pada Ahad yang merupakan inisiatif komuniti untuk membantu penghantar makanan tempatan selain menjaga kelestarian hidup rakyat Malaysia.

Ahli Majlis Pimpinan Pusatnya, Bryan Ng Yih Min berkata, pihaknya memandang serius perkara tersebut berikutan ramai daripada kalangan pekerja sektor berkenaan terbeban dengan syarikat pengendali yang dianggap tidak berbaloi.

“Dalam rakyat perlu meneruskan kehidupan, kami menghargai kerja keras dan kesungguhan penunggang penghantar makanan bagi memastikan khidmat penghantaran kepada masyarakat dapat dilakukan dengan tepat serta cekap.

“Bagaimanapun kami juga mengakui cabaran yang mereka hadapi terutama berkaitan dengan isu pembayaran yang rendah dengan hanya RM20 sehari.

“Program Sewaan Motosikal Elektrik ini memberi peluang kepada penghantar makanan untuk mengurangkan kos, meningkatkan pendapatan dan mengatasi halangan kewangan yang mereka hadapi.

“Bagi mereka yang tidak dapat memperoleh pinjaman bank atau tidak mampu membeli motosikal elektrik, program sewaan ini memberikan akses kepada pengangkutan yang handal dan berkesan untuk pergi bekerja,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Program itu merupakan usaha sama dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Tunku, Lim Yi Wei dan syarikat pembekal Ebike Eclimo serta pemilik premis Dking.

Dalam pada itu, Bryan menambah, pihaknya mengambil maklum mengenai aduan berhubung permasalahan kebajikan penghantar makanan dari segi ketiadaan kawal selia di bawah mana-mana kementerian dan peraturan mengawal kadar bayaran untuk perjalanan.

Jelasnya, turut termasuk isu pembayaran setiap perjalanan yang merudum dari tahun ke tahun dan ketiadaan pengiraan yang telus bagi perkhidmatan itu.