Program Fast Track SPM lepasan tahfiz diperkenal tahun depan

Gambar hiasan - Foto fail Bernama
Gambar hiasan - Foto fail Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan memperkenalkan jurusan Sains menerusi Program Fast Track Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk pelajar lepasan tahfiz di negeri ini pada tahun hadapan.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan Negeri Sembilan, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata, ia melibatkan tempoh pembelajaran selama dua tahun.

"Tahun depan kita akan mula memperkenalkan jurusan Sains tetapi tempoh pembelajaran dipanjangkan selama dua tahun.

"Ini kerana tidak mudah untuk mengajar mata pelajaran seperti Kimia, Fizik dan Biologi dalam tempoh setahun untuk pelajar yang tidak mempunyai asas dalam pelajaran-pelajaran ini," katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman sosial Facebook pada Jumaat.

Jelasnya, kerajaan Negeri Sembilan menawarkan program tersebut kepada anak-anak negeri itu, bagi lepasan tahfiz minimum 20 juzuk tetapi keutamaan akan diberi kepada yang telah selesai 30 juzuk untuk mengikuti program akademik SPM secara sepenuh masa.

"Mereka ini diwajibkan tinggal di asrama sepenuhnya di Maahad Tahfiz As-Sa'idiyyah (MTAS) untuk aliran Pengajian Islam selama satu tahun atau Sekolah SRI Seremban untuk aliran Sains selama dua tahun.

"Program akan bermula pada awal Januari tahun hadapan. Seramai 50 orang pelajar akan ditawarkan untuk aliran Pengajian Islam dan 50 orang pelajar untuk aliran Sains," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, usaha itu merupakan inisiatif kerajaan Negeri Sembilan dan buat kali pertamanya diperkenalkan pada tahun ini.

Artikel Berkaitan:

"Buat masa ini terdapat 50 orang pelajar sedang mengikuti program ini di MTAS untuk jurusan Perniagaan dan Pengajian Islam," katanya.

Menurut beliau, usaha memberi peluang pelajar lepasan tahfiz mempelajari akademik adalah untuk melahirkan jurusan profesional seperti akauntan, peguam, jurutera, doktor perubatan serta lain-lain yang hafiz dan hafizah.

"Di samping pembelajaran akademik SPM, program ini akan memastikan tahap hafalan pelajar-pelajar ini adalah yang terbaik manakala pelajar-pelajar yang masih tidak sampai 30 juzuk dikehendaki menghabiskan 30 juzuk dalam tempoh pembelajaran akademik SPM ini.

"Pelajar-pelajar juga akan didedahkan dengan bahasa Arab untuk memastikan penguasaan bahasa tersebut yang baik di samping pelajaran asas Islam.

"Pemohon akan dinilai dan mereka yang berpotensi akan dipanggil temu duga pada awal bulan Disember ini," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, kerajaan Negeri Sembilan memulakan projek rintis Program Fast Track SPM untuk pelajar lepasan tahfiz di negeri ini melibatkan 50 pelajar bermula Januari lepas.

Seramai 50 pelajar lepasan tahfiz terdiri daripada 31 pelajar lelaki dan 19 pelajar perempuan memulakan pengajian mereka di MTAS, Senawang.