[VIDEO] PRN Melaka: Polis tidak pilih bulu ambil tindakan

Razali
Razali
A
A
A

AYER KEROH - Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak pilih bulu dengan mana-mana parti politik yang ingkar dengan arahan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang ditetapkan sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Razali Abu Samah berkata, ada lima laporan polis telah dibuat pihaknya setakat ini berkenaan pelanggaran SOP daripada calon bertanding kerana membawa penyokong ke kawasan penamaan.

Katanya, ingin ditegaskan bahawa ia tidak dibenarkan.

"Kita (Polis Melaka) tidak berkompromi, tidak kira daripada mana parti politik itu. Mana-mana parti politik kita tidak pilih bulu.

"Mereka yang langgar arahan SOP akan diambil tindakan di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Perkara 17 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 (Akta 342)," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini pada Khamis.

Berkenaan dakwaan terdapat pihak yang meminta agar SOP berkempen ketika PRN dilonggarkan, Razali menjelaskan, pihaknya tetap mengambil langkah untuk menentukan keselamatan, kesihatan dan ketenteraman awam di Melaka terjamin.

Ujar beliau, pihaknya perlulah mengekalkan undang-undang yang ditetapkan.

"Sudah tentu semasa kita kuatkuasakan SOP ini, ada pihak yang tidak senang mengatakan pihak polis terlampau ketat untuk menguatkuasakan SOP dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

"Jika undang-undang sebegitu kita landaikan, kesan buruk yang berlaku nanti semuanya akan ditempelak kepada agensi penguatkuasa. Kita tidak mahu dipersalahkan dan tidak mahu Covid-19 itu merebak," katanya.

Justeru, beliau tidak mahu Melaka dijadikan punca wujudnya satu kluster baharu dalam gelombang Covid-19 dan perkara itu perlu dielakkan.

"Tidak kira apa yang dinyatakan oleh mereka (pihak politik), SOP itu tetap perlu dipatuhi.

"Ini yang diamanahkan kepada kita untuk kuatkuasakan SOP selaras dengan dua perkara iaitu Polis Melaka kekalkan ketenteraman awam dan kesihatan awam. Dua perkara ini kita utamakan," tegas beliau.

Sehubungan itu, katanya PDRM tidak teragak-agak untuk mengambil sebarang tindakan kepada mereka yang ingkar SOP yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di bawah Akta 342 ini.

Pada Rabu, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hassan menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi sedikit kelonggaran kepada calon PRN Melaka berkempen sehingga 20 November depan.

Beliau yang juga Pengarah PRN Melaka berkata, prosedur operasi standard (SOP) yang diputuskan pada Isnin agak keterlaluan sehingga menyukarkan calon berkempen.